PAPAR: Tema Pesta Kaamatan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, diangkat sebagai seruan penting kepada seluruh rakyat Sabah untuk terus memperkukuh perpaduan tanpa mengira latar belakang, kaum dan kepercayaan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, kepelbagaian yang wujud di negeri ini merupakan asas kekuatan sebenar rakyat Sabah dalam menghadapi cabaran modenisasi.
“Kepelbagaian yang wujud adalah kekuatan kita. Kita semua adalah pewaris kepada legasi nenek moyang yang membina kehidupan berteraskan nilai kesatuan, kerja keras dan semangat kebersamaan.
“Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan warisan ini terus dipelihara agar tidak luput ditelan arus zaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan 2026 di Dewan Masyarakat Papar, Jumaat.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ketua Menteri,Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan turut dihadiri isterinya, Datin Seri Panglima Juliah Salag.
Perkukuh peranan Kaamatan sebagai pemangkin pelancongan:
Joachim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata, objektif utama penganjuran tahun ini adalah untuk menyemarakkan semangat keharmonian serta mengetengahkan kekayaan budaya tempatan.
Menurutnya, Pesta Kaamatan bukan sahaja platform meraikan tradisi, malah berperanan memperkukuh kedudukan daerah luar bandar sebagai pemangkin sektor pelancongan dan pemuliharaan warisan budaya.
“Keunikan adat dan tradisi kita mampu menarik perhatian masyarakat global sekali gus memperkenalkan identiti Sabah ke peringkat antarabangsa.
“Kehadiran pelancong akan merancakkan sektor perhotelan, kraftangan serta industri kecil dan sederhana (IKS), sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada rakyat,” katanya.
Potensi Kaamatan ke peringkat antarabangsa:
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Pesta Kaamatan mempunyai potensi besar untuk diangkat sebagai antara festival budaya utama di peringkat antarabangsa.
Bagi merealisasikan hasrat itu, usaha promosi akan dipergiat secara lebih strategik melalui platform digital serta kerjasama dengan agensi pelancongan antarabangsa.
“Langkah ini penting bagi menarik minat generasi muda serta pelancong global untuk mengenali keunikan budaya Sabah,” katanya.
Komitmen perkasa warisan dan perpaduan:
Joachim menegaskan komitmennya untuk terus memperkasa Pesta Kaamatan sebagai lambang perpaduan rakyat serta pemacu imej Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya yang unggul.
Beliau berharap sambutan tahun ini menjadi platform untuk rakyat terus mempererat silaturahim dan mengekalkan identiti budaya Sabah yang unik.
“Marilah kita bersama-sama memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian dan memastikan warisan budaya kita terus subur serta disegani sepanjang zaman,” katanya.
