KOTA KINABALU: Seorang aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendakwa kenyataan beberapa pemimpin Parti Warisan berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan status Pulau Sebatik berpotensi mengelirukan rakyat.
Aksyah Haji Nasrah berkata kedua-dua isu berkenaan kini menjadi penanda aras dalam menilai tahap kejelasan iltizam politik serta kualiti kepimpinan.
Menurutnya, dakwaan berhubung status tanah seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang kononnya telah menjadi milik Indonesia digunakan oleh pihak tertentu bagi menjejaskan kredibiliti Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berpendapat beberapa kenyataan yang dikeluarkan menunjukkan kurang penelitian dan berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Isu ini sepatutnya ditangani secara berfakta dan bertanggungjawab, bukan dengan kenyataan yang boleh mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah, Aksyah turut mendakwa terdapat kenyataan tertentu yang memberi gambaran seolah-olah kerajaan negeri tidak serius dalam memperjuangkannya.
Bagaimanapun, beliau berpendapat kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji terus menunjukkan komitmen melalui pelbagai inisiatif pembangunan dan pelaksanaan dasar di bawah agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Pelbagai perkembangan positif termasuk projek infrastruktur dan inisiatif peralihan tenaga menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada perkembangan terkini melibatkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, termasuk penyerahan projek Bekalan Air Luar Bandar sebagai bukti kepercayaan terhadap kepimpinan negeri.
Sehubungan itu, Aksyah mengingatkan orang ramai supaya menilai setiap kenyataan secara teliti dan berasaskan fakta bagi mengelakkan kekeliruan.
“Rakyat perlu berhati-hati dengan kenyataan yang tidak lengkap atau tidak tepat, agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang boleh mengelirukan,” katanya.
