Sokongan kepada anak yatim tidak boleh bermusim : Julita

KOTA KINABALU: Seramai 61 anak yatim dan golongan asnaf diraikan dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Majlis Penasihat Wanita Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Selasa.

Majlis berkenaan menghimpunkan kanak-kanak daripada beberapa institusi kebajikan, sekali gus memberi peluang kepada mereka berinteraksi dengan pemimpin masyarakat serta merasai semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.

Menteri Kementerian Wanita Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Julita Majungki berkata usaha menyantuni anak yatim dan golongan rentan tidak seharusnya terhad kepada program bermusim sahaja.

“Kita tidak boleh hanya mengingati anak-anak ini pada bulan tertentu sahaja. Mereka adalah sebahagian daripada komuniti dan berhak menerima perhatian, sokongan serta peluang yang berterusan untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan negeri melalui pelbagai agensi dan institusi kebajikan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan memerlukan termasuk anak yatim serta kumpulan rentan di Sabah.

“Saya percaya golongan ini tidak dipinggirkan kerana terdapat pelbagai program yang sedang dilaksanakan untuk membantu mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masih terdapat ruang untuk memperkukuh serta memperluaskan lagi program kebajikan yang memberi manfaat kepada kanak-kanak memerlukan.

Menurutnya, usaha tersebut termasuk memberi perhatian kepada pelajar di madrasah supaya mereka terus mendapat bimbingan, sokongan dan galakan dalam aspek pendidikan serta pembangunan sahsiah.

Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Haslina Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Rosmawati Lasuki. Majlis berkenaan turut menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan serta keprihatinan masyarakat dalam menyantuni golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles