Sedcovest perhebat program bangunkan usahawan Bumiputera

KOTA KINABALU: Sedcovest Holdings Sdn Bhd akan terus memperhebat usaha memperkasa usahawan Bumiputera melalui pelaksanaan program keusahawanan yang lebih dinamik dan berorientasikan pasaran.

Pengerusinya, Datuk Redonah Bahanda berkata komitmen memperkukuh komuniti usahawan tempatan kekal menjadi fokus utama syarikat walaupun berdepan jangkaan cabaran ekonomi pada masa hadapan.

Menurut beliau, Sedcovest akan terus melaksanakan modul latihan keusahawanan yang lebih segar dan relevan bagi membantu usahawan baharu serta usahawan sedia ada meningkatkan daya saing dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompetitif.

Katanya, antara inisiatif yang akan diteruskan termasuk penyediaan latihan berkualiti, bimbingan perniagaan secara berstruktur serta kemudahan premis bagi membantu usahawan memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

Redonah berkata perubahan minda juga penting bagi memastikan usahawan Bumiputera mampu bertahan dalam ekonomi yang semakin dipacu teknologi.

Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd, Datuk Redonah Bahanda, ketika membincangkan inisiatif Sedcovest dalam memperkukuh pembangunan usahawan Bumiputera di Sabah.

“Kita mahu melihat usahawan Bumiputera beralih daripada mentaliti subsidi kepada mentaliti berdikari, produktif dan berdaya saing,” katanya.

Antara program utama yang dirancang Sedcovest pada tahun 2026 termasuk pembangunan usahawan baharu, pemerkasaan usahawan mikro, program pensijilan Halal dan MeSTI bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pembangunan kemahiran wanita dalam bidang tertentu.

Selain itu, Sedcovest turut merancang penganjuran kursus berorientasikan pasaran seperti Bengkel AI Video Kreatif serta Kursus Penetapan Harga Produk dan Pengurusan Kos bagi membantu usahawan meningkatkan kecekapan pengurusan perniagaan. Menurut beliau, melalui pendekatan yang lebih strategik dan berfokus, program tersebut diyakini mampu melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang kompeten dan berdaya tahan.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles