KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan modal insan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan yang memberi manfaat kepada ratusan ribu pelajar di seluruh negeri.
Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata sebanyak 14 inisiatif bantuan pendidikan telah dilaksanakan dengan perbelanjaan keseluruhan mencecah RM210.25 juta dalam tempoh lima tahun.
Menurut beliau, daripada jumlah itu seramai 90,296 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), 184,911 pelajar sekolah, 1,500 sekolah termasuk sekolah agama serta 57 persatuan pelajar IPT Sabah telah menerima manfaat, selain pelaksanaan 362 program pendidikan di seluruh negeri.
Beliau berkata bagi tahun ini sahaja, kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 pelajar.

“Peruntukan besar ini membuktikan kemampuan serta komitmen tinggi kerajaan negeri dalam membela nasib rakyat Sabah melalui pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) 2026 di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu pada Khamis.
Pada majlis tersebut, seramai 3,366 pelajar Sabah yang menuntut di Politeknik Kota Kinabalu menerima bantuan SENTOSA secara tunai.
Menurut Hajiji, bantuan berkenaan diwujudkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan mahasiswa anak-anak Sabah yang berusaha menimba ilmu demi masa depan diri, keluarga dan negeri.
Beliau berkata bantuan itu juga diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar, khususnya untuk pulang ke kampung halaman ketika musim perayaan.
“Tahun ini dianggarkan kira-kira 30,000 pelajar IPT Sabah yang menuntut dalam negeri akan menerima manfaat bantuan SENTOSA,” katanya.
Hajiji berkata kerajaan negeri akan meneruskan kesemua 14 inisiatif pendidikan pada tahun ini, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) serta Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU).
Turut diteruskan ialah Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA), Bantuan Graduan Rindu Sabah atau Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY), SENTOSA, Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One-Off (SUKSES) serta bantuan baharu Bantuan Pendaftaran Yuran MUET (BAYU).
Menurut beliau, inisiatif berkenaan melibatkan penyediaan dana serta kemudahan pendidikan bagi pelbagai tujuan termasuk pendaftaran pelajar IPT, program pembangunan pendidikan serta penyediaan kemudahan dan kelengkapan digital selaras dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-13.
Hajiji menegaskan walaupun pendidikan berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri tetap proaktif menjalin kerjasama berterusan bagi memastikan akses pendidikan yang adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat di Sabah.
Katanya, usaha tersebut selari dengan pelaksanaan Sabah Maju Jaya 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menjadi pelan strategik utama dalam meningkatkan daya saing serta produktiviti negeri secara mampan dan inklusif.
“Pelajar merupakan pemimpin pelapis masa depan. Tumpukan perhatian kepada pembelajaran dan latihan kerana ilmu adalah kunci utama untuk memajukan negeri dan negara.
“Manfaatkan sepenuhnya subsidi tiket, bantuan tunai dan zakat yang disediakan kerajaan selain mengambil tahu agenda pembangunan negeri termasuk pembangunan infrastruktur air, jalan raya dan elektrik,” katanya.
–TAMAT
