GLC, badan berkanun Sabah wajib hantar laporan prestasi suku tahunan kepada Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengurus Besar Kumpulan (GGM) dan Pengurus Besar (GM) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan berkanun negeri Sabah diarahkan mengemukakan laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan secara terus kepada Ketua Menteri bermula tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, langkah itu bertujuan memastikan Kerajaan Negeri memperoleh maklumat tepat, menyeluruh dan berfakta mengenai kemajuan projek, kedudukan kewangan, keberkesanan perkhidmatan serta pencapaian keseluruhan setiap entiti terlibat.

“Langkah ini penting bagi membolehkan kerajaan memantau prestasi, kecekapan pengurusan dan tahap akauntabiliti setiap GLC serta badan berkanun secara lebih berkesan dan berterusan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, mana-mana CEO, GGM atau GM yang gagal mengemukakan laporan, tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan atau menunjukkan prestasi tidak memuaskan akan disemak kedudukannya, termasuk kemungkinan ditukar atau ditamatkan perkhidmatan.

Beliau menegaskan setiap pengurusan tertinggi perlu menetapkan KPI yang jelas, terukur dan selari dengan mandat serta fungsi organisasi masing-masing.

“Semua projek, inisiatif, program dan perbelanjaan mesti mematuhi piawaian tadbir urus profesional, termasuk integriti kewangan, ketelusan pelaksanaan serta akauntabiliti kepada rakyat,” tegasnya.

Hajiji turut mengakui bahawa GLC dan badan berkanun negeri mempunyai objektif berbeza, ada yang berorientasikan keuntungan manakala sebahagian lagi bersifat perkhidmatan sosial, namun menegaskan semua entiti tetap bertanggungjawab memperlihatkan tahap komitmen, kecekapan dan integriti yang tinggi.

“Setiap CEO, GGM dan GM yang dilantik mesti memainkan peranan secara bertanggungjawab seperti yang diharapkan oleh rakyat dan kerajaan, selaras dengan agenda pembangunan negeri.

“Melalui pemantauan yang lebih sistematik serta pengurusan yang bertanggungjawab, pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Sabah,” katanya.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles