KOTA KINABALU: Pelaksanaan penuh hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pemberian khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan, tidak boleh terus dilengah-lengahkan selepas hampir lima dekad tertangguh, tegas Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bobbey Suan.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2025 yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) wajar dijadikan asas muktamad bagi menstrukturkan semula hubungan fiskal antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Menurutnya, Sabah menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan RM6.9 bilion – yang tertinggi pernah diterima negeri itu – serta peningkatan Geran Khas Interim kepada RM600 juta sebagai langkah awal penyelesaian MA63, namun menegaskan bahawa langkah itu masih belum memadai tanpa pelaksanaan menyeluruh dan berperlembagaan.
“MA63 bukan tuntutan politik, tetapi asas kewujudan Sabah dalam Persekutuan Malaysia. Keputusan mahkamah yang merujuk kepada Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan mengembalikan hak yang telah terabai hampir 50 tahun,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan MADANI) di Dewan Negara, Isnin lalu.
Bobbey menegaskan, pembayaran 40 peratus tidak boleh lagi bergantung kepada rundingan ad hoc atau perubahan pentadbiran, sebaliknya perlu dimuktamadkan melalui:
Formula pengiraan tetap berasaskan Perlembagaan,
Mekanisme pelaksanaan yang telus dan teratur, serta
Jadual pembayaran berkala yang konsisten dan terjamin.
Beliau berkata, keupayaan fiskal yang stabil amat penting bagi Sabah untuk menangani isu asas seperti bekalan air, tenaga elektrik, infrastruktur luar bandar, pendidikan dan pembangunan modal insan.
Bobbey turut membangkitkan dua insiden besar pada 2025 yang menjejaskan ekonomi dan kehidupan rakyat Sabah.
Insiden pertama melibatkan catuan elektrik seluruh Sabah pada Ogos 2025 susulan penyelenggaraan Terminal Gas Petronas Kimanis yang mengakibatkan kehilangan kapasiti 195 megawatt, menjejaskan lebih 600,000 isi rumah selama tujuh hari.
Insiden kedua membabitkan runtuhan talian penghantaran 275 kV Kolopis–Segaliud yang menyebabkan gangguan besar di Pantai Timur Sabah, termasuk Sandakan, Lahad Datu dan Tawau, dengan kerugian produktiviti mencecah jutaan ringgit.
“Insiden-insiden ini membuktikan Sabah memerlukan sistem tenaga yang lebih stabil dan berdaya tahan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kelulusan Projek Sabah Southern Link di bawah Belanjawan 2026, melibatkan pembinaan talian penghantaran 275 kV sepanjang 330 kilometer dari Sipitang ke Tawau yang dijangka meningkatkan kestabilan tenaga Pantai Timur sebanyak 200 MW.
Dalam masa sama, Bobbey menegur kelemahan pelaksanaan projek Persekutuan di Sabah akibat birokrasi dan kelulusan teknikal yang panjang, menyebabkan banyak peruntukan gagal dibelanjakan sepenuhnya setiap tahun.
Beliau memuji langkah Kerajaan Negeri menubuhkan Tabung Amanah Sabah dan mencadangkan supaya semua peruntukan Persekutuan kepada Sabah dimasukkan ke dalam tabung berkenaan.
“Jika Sabah menerima RM5 bilion dan hanya RM3 bilion dibelanjakan, baki perlu kekal dalam tabung untuk kesinambungan projek, bukan dikembalikan kepada Perbendaharaan Persekutuan,” katanya.
Bobbey turut menzahirkan kebimbangan terhadap tahap Self-Sufficiency Level (SSL) makanan Sabah yang hanya 22.8 peratus, menjadikan negeri itu bergantung besar kepada import dan terdedah kepada kenaikan kos sara hidup.
Beliau menyeru peningkatan peruntukan kepada sektor pertanian Sabah, selari dengan agenda keselamatan makanan negara.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan prestasi pelancongan Sabah sebagai antara yang terbaik apabila mencatat 3.14 juta pelancong pada 2024, disokong oleh 100 penerbangan antarabangsa dan 366 penerbangan domestik setiap minggu.
Menurutnya, kejayaan itu banyak disumbangkan oleh pelancongan berasaskan komuniti (Community-Based Tourism – CoBT) yang memberi limpahan ekonomi secara langsung kepada masyarakat luar bandar.
“Dengan sokongan yang betul, Sabah mampu menjadi model terbaik pelancongan komuniti di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.
Bobbey menegaskan Belanjawan MADANI 2026 hanya akan mencapai matlamatnya sekiranya hak Sabah di bawah MA63 dipenuhi sepenuhnya, birokrasi dipermudahkan dan setiap peruntukan dilaksana secara telus demi kepentingan rakyat.
— TAMAT
