KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah telah meluluskan pelantikan Datuk Zainudin Aman sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) yang baharu berkuat kuasa mulai 29 Jun 2026.
Zainudin, yang kini memegang jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, akan menggantikan Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong yang bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri pada 28 Jun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelantikan itu diyakini mampu meneruskan kecemerlangan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dalam mendukung agenda transformasi pentadbiran negeri.
Beliau berkata, pengalaman dan kepimpinan Zainudin diharap dapat memperkukuh lagi keupayaan jentera perkhidmatan awam negeri agar terus berdaya saing, progresif dan responsif terhadap keperluan rakyat serta pembangunan negeri.
“Kerajaan negeri yakin Perkhidmatan Awam Negeri Sabah akan terus maju dan cemerlang dalam melaksanakan dasar serta agenda pembangunan negeri demi kemakmuran rakyat dan kesejahteraan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Hajiji merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Safar atas khidmat bakti cemerlang yang telah dicurahkan sepanjang menerajui Perkhidmatan Awam Negeri sejak tahun 2019.
Menurut beliau, Safar telah melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi, profesionalisme, berhemah dan berintegriti sepanjang tempoh perkhidmatannya. Dalam perkembangan berkaitan, Safar turut dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Jabatan Ketua Menteri, berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026.
