KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kesihatan 2026 di Dewan Serbaguna Damai, di sini, pada Ahad mendapat sambutan menggalakkan apabila orang ramai, khususnya warga emas, tampil memanfaatkan pelbagai perkhidmatan pemeriksaan dan saringan kesihatan percuma yang disediakan.
Program anjuran Persatuan Wanita Cemerlang Sabah dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Likas itu menyaksikan kehadiran pengunjung sejak awal pagi bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan serta maklumat berkaitan penjagaan kesihatan diri.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Likas, Glenna Wong, berkata sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, khususnya dalam kalangan warga emas.
“Kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan semakin meningkat. Kita gembira melihat ramai warga emas mengambil peluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang disediakan secara percuma.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu masyarakat mengetahui tahap kesihatan masing-masing, malah menggalakkan amalan pencegahan dan pengesanan awal penyakit,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pemeriksaan kesihatan asas, saringan paras gula dan kolesterol, tekanan darah, pemeriksaan mata, pergigian serta kesihatan wanita.
Program bertemakan “Sihat Bersama, Keluarga Sejahtera” itu turut menyediakan vaksin influenza secara percuma kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Glenna berkata, kerjasama antara Persatuan Wanita Cemerlang Sabah dan UPPM Likas merupakan antara usaha mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti, selain memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan pemeriksaan awal tanpa membebankan kewangan mereka.
Menurutnya, inisiatif seumpama itu amat penting khususnya bagi membantu golongan warga emas dan keluarga berpendapatan rendah yang mungkin berdepan kekangan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Kesihatan rakyat perlu sentiasa diberi keutamaan kerana masyarakat yang sihat menjadi asas kepada pembentukan keluarga sejahtera dan komuniti produktif.
“Kita berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan supaya lebih ramai penduduk, khususnya golongan warga emas dan keluarga berpendapatan rendah, mendapat manfaat,” katanya.
Beliau turut menekankan penjagaan kesihatan tidak seharusnya hanya diberi perhatian apabila seseorang mengalami masalah kesihatan, sebaliknya perlu menjadi amalan berterusan menerusi pemeriksaan berkala dan pengesanan awal penyakit.

Dalam pada itu, Glenna merakamkan penghargaan kepada Persatuan Wanita Cemerlang Sabah, petugas kesihatan, sukarelawan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Turut hadir meninjau perjalanan program ialah Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang; Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Shu Phin; ADUN Dilantik Sabah merangkap Setiausaha Agung LDP, Datuk Chin Shu Yin; Timbalan Presiden LDP, Datuk Yong Wui Chung; Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd merangkap Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Redonah Bahanda; Pengerusi Perkasa Hotel Holdings Sdn Bhd, Datuk Flovia Ng; Ketua Wanita PCS merangkap Pengerusi Unit Kesihatan Wanita GRS, Puan Simi Linggom; Bendahari Wanita GRS merangkap Pengerusi Unit Kebajikan, Datin Mary Wong; serta Timbalan Ketua Penerangan Wanita GRS, Puan Lailawati Ahmad Bahrom @ Julia ABT.
