KOTA MARUDU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian P.168 Kota Marudu mencadangkan supaya parti itu diberi peluang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, selaras dengan prinsip perkongsian kuasa yang adil dan seimbang dalam gabungan berkenaan.
Cadangan itu merupakan antara resolusi yang dipersetujui sebulat suara pada Mesyuarat PGRS Bahagian P.168 Kota Marudu yang dipengerusikan Ketua Bahagiannya, Sarapin Magana, hari ini.
Mesyuarat berpendirian bahawa pengagihan kerusi dan peluang perwakilan dalam GRS perlu mengambil kira kedudukan, peranan serta sumbangan setiap parti komponen bagi memastikan prinsip perkongsian kuasa dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Menurut resolusi itu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek dan Matunggong ketika ini masing-masing diwakili wakil rakyat daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), manakala DUN Bandau diwakili wakil rakyat Bebas.
Keadaan itu, menurut mesyuarat, memperlihatkan keperluan untuk menilai semula ruang perwakilan PGRS di kawasan Parlimen Kota Marudu memandangkan parti berkenaan belum mempunyai wakil di ketiga-tiga kerusi DUN terbabit mahupun di peringkat Parlimen.
Sehubungan itu, mesyuarat mencadangkan supaya PGRS diberi pertimbangan untuk bertanding di kerusi Parlimen P.168 Kota Marudu sebagai salah satu pendekatan ke arah mewujudkan keseimbangan perwakilan antara parti komponen GRS.
Resolusi itu turut menegaskan kerusi Parlimen Kota Marudu tidak seharusnya dianggap sebagai hak automatik mana-mana parti komponen, sebaliknya perlu ditentukan menerusi rundingan dan persetujuan bersama dalam kalangan kepimpinan gabungan.
Mesyuarat berharap kepimpinan tertinggi GRS dapat mempertimbangkan cadangan berkenaan secara sewajarnya — dengan mengambil kira kepentingan pengukuhan organisasi parti, keseimbangan perwakilan serta semangat muafakat yang menjadi asas kerjasama dalam gabungan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat turut membincangkan usaha penyelarasan penubuhan cawangan PGRS di kawasan Parlimen Kota Marudu bagi memastikan pengembangan organisasi parti dilaksanakan secara lebih sistematik dan tersusun.
Langkah itu bertujuan memperkukuh struktur kepimpinan di peringkat akar umbi, memperkemas gerak kerja organisasi serta meningkatkan keberkesanan setiap cawangan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada parti dan masyarakat setempat.
Turut hadir Timbalan Ketua Bahagian, Dato’ Dr. Janatan Kandok; Naib Ketua Bahagian, Mohamad Isahak Awang; Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Redonah Bahanda; Ketua Pemuda, Datu Muhd Farid Liman; Ketua Beliawanis, Halijah Haris; Ketua Penerangan, Jeson Majimal; serta ahli-ahli jawatankuasa bahagian.
