Tuduhan rasuah perlu dibawa ke SPRM, bukan diadili melalui media sosial

KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) Bahagian Api-Api menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap penyebaran sebuah video tular di media sosial yang didakwa mengandungi tuduhan rasuah terhadap beberapa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Publisiti LDP Api-Api, Arthur Mojugah, berkata penyebaran kandungan berkenaan dilihat berunsur provokasi dan berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat serta mencemarkan reputasi individu yang terlibat.

Beliau berkata, penyebaran tuduhan tanpa sebarang keputusan mahkamah atau bukti yang telah disahkan bukan sahaja boleh mengelirukan orang ramai, malah berisiko mencetuskan kebencian, salah faham dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Video tersebut turut memaparkan tindakan simbolik terhadap gambar yang dikaitkan dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS, yang boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk penghinaan atau provokasi politik yang tidak wajar dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Arthur menegaskan bahawa LDP menghormati hak setiap rakyat untuk bersuara dan menyatakan pandangan, namun kebebasan itu hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab.

“Kebebasan bersuara bukan lesen untuk membuat tuduhan yang belum dibuktikan atau melakukan tindakan yang boleh menghasut kebencian serta menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya mana-mana pihak mempunyai maklumat atau bukti berkaitan salah laku rasuah, saluran yang sewajarnya ialah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan secara bebas, profesional dan mengikut lunas undang-undang.

Sehubungan itu, Arthur berkata LDP Api-Api menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat individu yang terbabit dalam penerbitan dan penyebaran video berkenaan, termasuk mengenal pasti sama ada wujud unsur fitnah, hasutan, provokasi atau apa-apa kesalahan lain di bawah undang-undang negara.

“Setiap individu berhak mendapat keadilan dan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya oleh mahkamah.

“Pada masa yang sama, mana-mana pihak yang membuat tuduhan serius juga perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan dan tindakan mereka. Negara ini mempunyai institusi penguatkuasaan dan sistem kehakiman yang perlu dihormati oleh semua pihak,” katanya.

Arthur turut menyeru semua pihak, termasuk ahli politik, mahasiswa dan masyarakat umum, supaya mengamalkan budaya politik yang matang, berhemah dan bertanggungjawab serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan permusuhan atau menggugat keharmonian masyarakat. Beliau berkata, LDP kekal komited mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang, demokrasi, keamanan awam dan perpaduan rakyat Sabah, sambil menegaskan bahawa setiap dakwaan hendaklah disiasat berdasarkan fakta dan bukti, bukannya diadili melalui media sosial.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles