TAWAU:Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSK) akan menganjurkan Festival Komuniti Havoc sempena Piala Dunia FIFA 2026 menerusi tayangan skrin besar di Tawau dan Kota Kinabalu sebagai usaha menyemarakkan demam bola sepak, memperkukuh perpaduan masyarakat serta merancakkan ekonomi komuniti.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata festival itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah bagi menggalakkan penyertaan aktif belia dan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti berteraskan sukan, rekreasi dan ekonomi kreatif.
Beliau berkata, program berkenaan bukan sekadar memberi peluang kepada peminat bola sepak menyaksikan kejohanan terbesar dunia secara bersama, malah menjadi platform memperkukuh hubungan masyarakat serta membuka ruang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan.
“Kita mengambil peluang sempena demam Piala Dunia FIFA 2026 untuk menghimpunkan masyarakat dalam suasana yang sihat, harmoni dan penuh semangat kesukanan.
“Festival ini bukan sahaja mengeratkan perpaduan komuniti, malah memberi peluang kepada usahawan belia mempromosikan produk serta menjana pendapatan melalui pelbagai aktiviti yang disediakan,” katanya pada sidang media di Arena Belia Tawau, Ahad.
Menurut Nizam, tayangan pertama akan berlangsung di Arena Belia Tawau pada 8 Julai bermula jam 12 tengah malam, membabitkan aksi pusingan 16 terbaik yang dijangka menemukan Argentina dan Mesir.
Di Tawau, festival akan bermula seawal jam 4 petang pada 7 Julai dengan pelbagai pengisian menarik termasuk pertandingan e-sukan FIFA, pertandingan domino, cabaran teka skor, kuiz interaktif, persembahan freestyle juggling, bicara santai bola sepak, cabutan bertuah, jamuan barbeku serta gerai jualan usahawan tempatan.
Kemuncak festival pula akan diadakan di Dewan Berbumbung Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu pada 19 Julai menerusi tayangan perlawanan penentuan tempat ketiga, sebelum diteruskan dengan tayangan final Piala Dunia pada awal pagi 20 Julai.
Festival di Kota Kinabalu akan menampilkan lima zon utama — Sport Experience Zone, Community Hub Zone, Food Street Zone, Fan Experience Zone dan Havoc Community Zone.
Antara aktiviti yang bakal berlangsung ialah cabaran sepakan penalti, pertandingan Mobile Legends dan PUBG Mobile, sesi bertemu pemain Sabah FC, persembahan busking, pameran agensi kerajaan, Jualan Rahmah, food truck, podcast sukan, pertandingan teka gol serta cabutan hadiah.
Nizam berkata, penganjuran festival itu selari dengan agenda kerajaan negeri untuk menjadikan sukan sebagai pemangkin pembangunan belia, ekonomi kreatif dan industri pelancongan.
“Sukan bukan sekadar aktiviti riadah atau hiburan, sebaliknya mampu menjadi pemacu pembangunan ekonomi, mengukuhkan perpaduan masyarakat serta merancakkan sektor pelancongan melalui penganjuran acara berskala besar,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai, khususnya peminat bola sepak di Sabah, hadir memeriahkan festival berkenaan. “Kita mahu rakyat Sabah merasai sendiri aura Piala Dunia seolah-olah berada di stadium di Amerika Syarikat, Mexico atau Kanada, sambil menyokong pembangunan sukan dan ekonomi komuniti di negeri ini,” katanya.
