STR dan FlySiswa ringankan beban rakyat :Hajiji

KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan pendekatan strategik Kerajaan Persekutuan dalam membantu rakyat, termasuk penyaluran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menjelang sambutan Aidilfitri yang dilihat mampu meringankan beban rakyat membuat persiapan perayaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata langkah berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, selain STR, inisiatif bantuan khas RM400 menerusi program FlySiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sempena cuti Hari Raya turut memberi manfaat besar kepada golongan mahasiswa.

“Kerajaan negeri turut menyediakan bantuan tambahan sebanyak RM600 kepada pelajar anak Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia dan Sarawak sebagai subsidi tiket penerbangan untuk pulang ke kampung halaman.

“Bagi pelajar yang menuntut di dalam negeri pula, mereka akan menerima bantuan RM300 seorang bagi menampung perbelanjaan pulang menyambut Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 bersama Perdana Menteri, di sini pada Ahad.

Hajiji berkata, pelbagai insentif yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mencerminkan komitmen berterusan dalam membantu rakyat, terutama golongan yang memerlukan.

Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha memperkukuh pembangunan negara serta memacu pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, kepimpinan Perdana Menteri juga berjaya memulihkan serta memperkukuh ekonomi negara dengan pencapaian pelaburan yang memberangsangkan.

“Malaysia mencatatkan rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu berjumlah RM426.7 bilion, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pelaburan tersebut melibatkan lebih 8,000 projek dengan potensi mewujudkan kira-kira 244,902 peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Hajiji berkata, pengukuhan nilai ringgit turut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI.

Sebelum menghadiri majlis berkenaan, Perdana Menteri diiringi Ketua Menteri turut mengadakan sesi tinjauan di Bazar Ramadan serta menyantuni rakyat di kawasan Universiti Apartment (UA), Sepanggar.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles