SMJ 2.0 buktikan fokus GRS kepada ekonomi dan pembangunan, bukan retorik politik

KOTA KINABALU:Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 disifatkan mengambil pendekatan yang lebih strategik dengan memberi tumpuan kepada pelaburan berkualiti, pembiayaan mampan dan pembangunan jangka panjang, berbanding terjebak dalam retorik politik yang dimainkan pihak tertentu.

Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah, berkata Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia Pasifik yang berlangsung di Kota Kinabalu pada Isnin membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk meletakkan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing dan berteraskan pembangunan mampan.

Beliau berkata, menerusi teks ucapan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang disampaikan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, kerajaan negeri kini memberi penekanan kepada pemilihan pelaburan berdasarkan kualiti, pembiayaan ekologi serta impak sosial jangka panjang, bukan sekadar keuntungan komersial semata-mata.

Aksyah mengemukakan empat perkara yang menurutnya membuktikan pendekatan pentadbiran GRS lebih berkesan dan berorientasikan hasil.

Dari sudut kecekapan pentadbiran, beliau berkata kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pelaksanaan dasar serta pembangunan ekonomi berbanding melayani polemik politik dan manipulasi isu di media sosial.

“Ketika terdapat pihak yang menggalakkan demonstrasi jalanan, kerajaan negeri memilih untuk menumpukan usaha kepada penstrukturan ekonomi Sabah daripada bergantung kepada sektor primer kepada ekonomi yang lebih pelbagai, mampan dan berdaya tahan.

“Ekonomi sesebuah wilayah dibina melalui perancangan dan strategi yang jelas, bukannya retorik atau polemik politik,” katanya.

Mengulas mengenai pembangunan modal insan, Aksyah berkata agenda SMJ 2.0 turut memberi penekanan kepada usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa depan.

Beliau berkata, kerajaan negeri terus menyalurkan peruntukan yang besar kepada sektor pendidikan dan pembangunan bakat kerana modal insan berkualiti merupakan antara faktor utama yang menarik pelaburan berimpak tinggi ke Sabah.

Mengenai isu kemudahan asas, Aksyah berkata pembangunan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya perlu dinilai secara objektif berdasarkan tempoh pelaksanaan projek, memandangkan penyediaan infrastruktur berskala besar memerlukan masa sebelum manfaatnya dapat dirasai rakyat.

Menurutnya, naratif ekonomi juga tidak seharusnya dipengaruhi retorik politik, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan pencapaian sebenar, termasuk usaha Sabah mengekalkan status sebagai negeri penyerap karbon bersih serta komitmen melindungi 30 peratus kawasan hutannya.

Aksyah berkata, rakyat mampu menilai perbezaan antara pentadbiran yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan usaha mendapatkan peningkatan pemberian khas interim kepada Sabah, dengan pendekatan yang lebih banyak memainkan persepsi politik.

“Sabah sedang melalui proses pemulihan dan pembinaan semula ekonomi. Rakyat wajar menilai prestasi kerajaan berdasarkan fakta, pencapaian dan realiti, bukannya persepsi atau retorik politik,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles