TUARAN: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meneruskan komitmen kebajikan dengan menyampaikan bakul makanan kepada golongan asnaf sempena Ramadan melibatkan kawasan Parlimen Tuaran dan Kota Belud.
Program yang diadakan di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah di sini disempurnakan Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun yang turut menyampaikan sendiri sumbangan kepada para penerima.

Turut hadir Ketua Wanita Parti Cinta Sabah (PCS) Simi Linggom; Setiausaha Wanita GRS Salmah Sait; Penolong Bendahari Wanita GRS Datuk Surinam Sadikun; Ketua Penerangan Wanita GRS Datin Belynda Buntot; Timbalan Ketua Penerangan Wanita GRS Julia ABT ,Penyelaras Wanita GRS Parlimen Tuaran Datuk Jamaliah Antalip, Penyelaras Wanita GRS Parlimen Kota Belud Nurul Fadzilah Noordin bersama barisan EXCO Wanita GRS serta para Wanita dari Parti Komponen GRS dari kedua-dua kawasan Parlimen terbabit.
Dalam ucapannya, Azizah berkata kepimpinan wanita perlu terus memainkan peranan aktif dalam mendekati masyarakat dan membantu golongan memerlukan.
Menurut beliau, Ramadan adalah masa terbaik untuk memperkukuh nilai kebajikan, empati dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban golongan memerlukan, malah memperkukuh semangat perpaduan serta memperluas peranan Wanita GRS dalam mendekati masyarakat,” katanya.
Program itu berlangsung dalam suasana penuh kebersamaan sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Wanita GRS dalam melaksanakan aktiviti kebajikan dan mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
–TAMAT
