Sabah sambut baik Keputusan bersejarah tidak buat rayuan isu 40 peratus

KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik keputusan bersejarah Kerajaan Persekutuan yang tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pengesahan semula hak perlembagaan Sabah bagi menerima pemberian khas 40 peratus hasil negeri, seperti termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Jemaah Menteri Persekutuan atas keputusan yang dianggap bersejarah serta menunjukkan komitmen tulen terhadap semangat federalisme dan keadilan antara wilayah.

“Keputusan ini membuktikan bahawa Perdana Menteri memahami harapan serta aspirasi rakyat Sabah. Ia juga mencerminkan kesungguhan beliau menegakkan hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hajiji berkata, keputusan untuk tidak merayu adalah hasil daripada hubungan kerja yang baik dan persefahaman yang kukuh antara Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Kerajaan Persekutuan.

“Dalam beberapa siri pertemuan saya dengan Perdana Menteri, saya menegaskan pendirian tegas kerajaan negeri bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan.

Keputusan ini mencerminkan kejujuran dan kesepakatan dua hala yang semakin erat antara Sabah dan Putrajaya,” katanya.

Hajiji menegaskan bahawa menghormati keputusan mahkamah ini merupakan langkah penting ke arah merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar.

“Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama untuk melihat hak ini direalisasikan. Kini tiba masanya untuk tindakan tegas dan kemahuan politik yang tulen bagi melaksanakan keputusan mahkamah tersebut,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan pemberian khas 40 peratus itu akan memberi kesan langsung terhadap pembangunan infrastruktur, sektor pertanian, kemudahan asas, serta kesejahteraan rakyat luar bandar, sekaligus memperkukuh keupayaan fiskal negeri dalam jangka panjang.

Ketua Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan negeri bersedia untuk terus berunding secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan keputusan mahkamah tersebut.

“Kerajaan negeri akan memastikan pelaksanaan hak ini dibuat secara teratur dan berlandaskan semangat kerjasama persekutuan.

Kami juga menyeru rakyat agar terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan usaha bersama ini demi masa depan Sabah yang lebih makmur,” katanya.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles