Sabah peruntuk RM437.93 juta perkasa modal insan

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM437.93 juta tahun ini bagi memperkasa pembangunan modal insan secara menyeluruh, merangkumi aspek akademik dan spiritual.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha berterusan itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi Sabah ke arah aktiviti bernilai tinggi dan berasaskan pengetahuan.

“Ia merupakan platform terbaik untuk membawa ekonomi Sabah beralih kepada aktiviti berorientasikan kemahiran dan inovasi, termasuk memberi keutamaan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta teknologi digital,” katanya.

Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam meninjau ruang pameran Kolej Vokasional Keningau, sambil diberi penerangan oleh pelajar Jurusan Kosmetologi KV Keningau, Jolika Soon Chui Yean.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti,Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia Ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Khamis.

Seramai kira-kira 1,000 graduan dari Kolej Vokasional Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menerima diploma masing-masing pada majlis berkenaan.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar kolej vokasional yang menjadi tonggak utama dalam memperkasa agenda TVET negara.

“TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya kini berada dalam arus perdana pendidikan dan menjadi laluan utama untuk melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang memenuhi kehendak industri,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan jumlah permohonan ke kolej vokasional daripada 28,098 pada 2022 kepada 58,263 pada 2026, berbanding kapasiti pengambilan 17,912 pelajar, mencerminkan keyakinan rakyat terhadap pendidikan berasaskan kemahiran.

Menurutnya, laporan The Future of Jobs Report 2025 oleh World Economic Forum (WEF) menunjukkan pasaran kerja global sedang mengalami perubahan ketara dengan anggaran 170 juta pekerjaan baharu bakal diwujudkan menjelang 2030, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hijau.

“Di peringkat domestik, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi tumpuan kepada sektor berimpak tinggi dan bernilai tinggi, sekali gus memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi juga celik digital dan peka terhadap kelestarian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia turut memperkukuh ekosistem TVET melalui Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, selaras dengan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan modal insan berkualiti di Sabah.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles