Sabah perlu bersatu perkukuh kuasa tawar-menawar PRU16

KOTA KINABALU: Sabah perlu tampil sebagai satu blok politik yang bersatu dan kukuh bagi memperkuat kuasa tawar-menawar negeri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, kenyataan Armizan Mohd Ali bahawa Sabah perlu berani menentukan hala tuju politik sendiri wajar diterjemahkan melalui kesatuan parti-parti tempatan.

Menurut beliau, landskap politik negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 menyaksikan tiada lagi satu gabungan tunggal mampu membentuk kerajaan Persekutuan dengan majoriti kukuh secara bersendirian, sekali gus meletakkan Sabah pada kedudukan strategik sebagai penentu.

“Dalam suasana politik yang semakin dinamik, Sabah tidak seharusnya berada pada posisi sebagai pelengkap atau penumpang kepada mana-mana gabungan dominan. Sebaliknya, kita perlu tampil sebagai blok bersatu dengan jumlah kerusi signifikan bagi memastikan suara Sabah lebih dihormati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yazid berkata, pendekatan ‘Sabah First’ bukanlah bersifat memisahkan diri daripada Persekutuan, sebaliknya prinsip memperjuangkan kepentingan negeri secara tegas dan strategik dalam kerangka Malaysia.

Katanya, setiap bentuk kerjasama politik perlu berteraskan kepentingan rakyat Sabah, termasuk aspek pembangunan, peruntukan, infrastruktur, pendidikan, kesihatan serta pelaksanaan hak-hak termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sabah First bermaksud kita meletakkan kepentingan negeri sebagai keutamaan dalam setiap rundingan dan keputusan politik. Agenda Sabah tidak boleh lagi sekadar retorik, tetapi mesti diterjemahkan dalam bentuk dasar dan tindakan konkrit di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa kecenderungan rakyat menyokong parti tempatan dalam pilihan raya lalu merupakan isyarat jelas bahawa mereka mahukan kepimpinan yang benar-benar memahami keperluan dan cabaran negeri.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin politik Sabah agar mengetepikan perbezaan serta memperkukuh kesepakatan bagi memastikan negeri ini bukan sahaja menjadi penentu pembentukan kerajaan Persekutuan, malah berupaya memastikan kepentingannya dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan. “Jika kita bersatu dan memiliki kekuatan kerusi yang besar, Sabah akan dihormati sebagai rakan strategik dalam pembentukan kerajaan Persekutuan, bukan lagi sekadar pengikut arus politik,” katanya.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles