PRU16: Sabah perlu jadi blok penentu, bukan sekadar pelengkap

 PAPAR: Sabah perlu berani menentukan hala tuju politiknya sendiri dan tidak lagi sekadar menjadi pelengkap dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, landskap politik semasa membuka ruang yang luas kepada Sabah untuk memainkan peranan lebih strategik dalam menentukan corak pentadbiran negara.

Beliau berkata keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jelas menunjukkan tiada lagi satu gabungan tunggal mampu membentuk kerajaan secara bersendirian dengan majoriti kukuh.

“Realitinya hari ini tidak ada satu gabungan tunggal yang boleh membentuk kerajaan secara sendiri. Dalam situasi ini, Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan strategik.

“Persoalannya, adakah kita mahu terus menjadi pelengkap atau penumpang, ataupun kita mahu menjadi satu blok yang mampu membuat keputusan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan di sini, Sabtu.

Menurut Armizan, bagi mencapai kedudukan tersebut, Sabah perlu memperkukuh kesatuan politik khususnya dalam kalangan parti-parti tempatan supaya memiliki jumlah kerusi yang signifikan untuk menentukan pendirian secara kolektif.

Katanya, tanpa kesatuan dan kekuatan kerusi yang mencukupi, Sabah akan terus berada dalam kedudukan bergantung kepada pihak lain dalam menentukan arah pentadbiran negara.

“Kita perlu bertanding dan menang atas kesepakatan yang kukuh. Apabila kita mempunyai jumlah kerusi yang besar, kita boleh menentukan pendirian kita sendiri.

“Bukan sekadar menyokong pihak yang dominan di Semenanjung, tetapi kita boleh menetapkan syarat dan memastikan agenda Sabah menjadi sebahagian daripada agenda utama kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau turut berkata kecenderungan rakyat Sabah yang memberi sokongan kepada parti-parti tempatan dalam pilihan raya negeri lalu merupakan isyarat jelas bahawa rakyat mahukan pendekatan politik yang lebih berteraskan kepentingan negeri.

Bagaimanapun, katanya, mesej tersebut perlu diterjemahkan oleh kepimpinan politik melalui kesatuan dan strategi bersama yang jelas.

“Menjadi penentu kerajaan itu penting, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana kedudukan itu dimanfaatkan.

“Kita mahu memastikan kepentingan Sabah bukan sekadar disebut, tetapi benar-benar diterjemahkan dalam dasar dan keputusan di peringkat Persekutuan,” katanya.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles