KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengalu-alukan penyertaan pelabur Jepun untuk meneroka peluang pelaburan dalam sektor Ekonomi Biru, sejajar dengan agenda pembangunan negeri yang menekankan pertumbuhan mampan berasaskan sumber marin dan pesisir pantai.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Ekonomi Biru menawarkan potensi besar merangkumi bidang perikanan moden, akuakultur, bioteknologi marin, tenaga boleh baharu berasaskan laut, logistik maritim serta pelancongan lestari.
“Sabah mempunyai garis pantai yang panjang, kepelbagaian biologi marin yang kaya serta lokasi strategik di rantau Asia Tenggara. Ini membuka ruang luas kepada kerjasama pelaburan dan pemindahan teknologi, khususnya dengan rakan strategik seperti Jepun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki, di Sri Gaya, di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, dasar mesra pelabur Kerajaan Negeri, termasuk insentif pelaburan, kemudahan kelulusan serta sokongan agensi berkaitan, diwujudkan bagi memastikan Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing dan kondusif.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama dalam bidang teknologi hijau, pendidikan, penyelidikan marin serta pembangunan modal insan, sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan negeri.
Sementara itu, Shikata yang mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Sabah turut melawat Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta mempromosikan penganjuran Green×Expo 2027 yang akan berlangsung di Yokohama, Jepun.
Beliau berkata Jepun komited untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Sabah, khususnya dalam bidang teknologi hijau, inovasi, kelestarian alam sekitar serta pembangunan berasaskan ekonomi hijau dan biru.
–TAMAT
