TONGOD: Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) memberi jaminan bahawa projek Kompleks Sukan Tongod yang tertangguh sejak Julai tahun lalu akan diteruskan dengan pelantikan kontraktor baharu dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, jaminan itu dizahirkan susulan lawatan kerja Menteri KBSK, Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan ke tapak projek berkenaan, sekali gus menamatkan kebimbangan masyarakat terhadap status projek yang sebelum ini disifatkan sebagai ‘projek gajah putih’.
“Saya berpuas hati kerana menteri sendiri memberi jaminan bahawa projek Kompleks Sukan Tongod akan diberi perhatian serius dan kontraktor baharu akan dilantik bagi memastikan pembinaannya disiapkan dalam tempoh terdekat.
“Saya juga akan memainkan peranan untuk membuat susulan agar proses pelantikan kontraktor serta pelaksanaan kerja dapat dipercepatkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan tapak projek berkenaan di sini, hari ini.

Menurut Masiung, pembinaan kompleks sukan itu amat penting bagi memenuhi keperluan belia dan komuniti setempat yang memerlukan kemudahan sukan lebih lengkap dan kondusif.
Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan SEDCO berkata, prestasi kontraktor terdahulu yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual menjadi punca kelewatan pelaksanaan sehingga menjejaskan kepentingan masyarakat setempat.
“Perkara ini telah saya bangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Disember lalu dengan gesaan supaya kementerian mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu projek terbengkalai.
“Oleh itu, KBSK perlu meneliti dengan lebih teliti kemampuan serta rekod prestasi kontraktor baharu sebelum pelantikan dibuat bagi memastikan kelewatan sama tidak berulang,” katanya.
Beliau menegaskan, projek Kompleks Sukan Tongod berpotensi menjadi pemangkin pembangunan belia serta mempergiatkan aktiviti sukan di daerah itu apabila siap sepenuhnya kelak. Lawatan kerja berkenaan turut disertai Pembantu Menteri KBSK, Datuk Seri Dr Anil Sandhu; , Pengerusi Lembaga Sukan Sabah Tuan Syed Ahmad Syed Abas ,Ahli Dewan Negara merangkap Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sungai Sibuga, Datuk Anna Bell @ Suzieana binti Haji Perian; Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansor Adun serta Pegawai Daerah Tongod, Hadzlan Jablee.
–Tamat.
