Sabah bakal ada Hospital IJN sendiri di Likas

KOTA KINABALU:Sabah bakal memiliki hospital Institut Jantung Negara (IJN) sendiri susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Yayasan Sabah melalui syarikat pelaburannya, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), dan IJN.

Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Isnin.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, penubuhan hospital jantung pertama di negeri ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

“Ini adalah satu langkah penting dalam memperkukuh sistem kesihatan negeri, khususnya dalam rawatan penyakit kardiovaskular,” katanya.

Di bawah kerjasama strategik itu, sebuah hospital khusus untuk rawatan penyakit jantung akan dibina di atas tapak seluas 10 ekar di Likas.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya, berkata pembinaan hospital berkenaan akan mengurangkan kebergantungan pesakit terhadap kemudahan rawatan di luar negeri.

“Pesakit tidak lagi perlu menanggung kos perjalanan yang tinggi, selain dapat memperoleh akses lebih cepat kepada rawatan pakar,” katanya.

Beliau berkata, projek tersebut juga akan menyokong perkhidmatan sedia ada termasuk Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II yang kini berdepan kekangan kapasiti.

Menurutnya, kerjasama strategik itu turut memberi impak positif dari segi pembangunan ekonomi serta peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Sementara itu, Pengerusi IJN, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penyakit jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia, sekali gus menuntut sistem kesihatan yang lebih responsif dan menyeluruh.

“Perluasan akses kepada rawatan berkualiti tinggi amat penting supaya perkhidmatan kesihatan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh tanpa mengira lokasi,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa pembukaan Hospital IJN di Sabah berpotensi membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan kesihatan dengan menawarkan perkhidmatan bertaraf global pada kos yang berpatutan.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, bersama Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya, manakala IJN diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Prof Dato’ Sri Dr Mohamed Ezani Md Taib, serta Ketua Pegawai Klinikal, Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya.

Pada majlis sama, satu lagi MoU turut dimeterai antara University College Sabah Foundation (UCSF) dan IJN University College bagi memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir dalam bidang kesihatan. UCSF diwakili Naib Canselor, Datuk Dr Rafiq Idris, bersama Pendaftar, Norashikin Ahmad, manakala IJN University College diwakili Naib Canselor, Prof Emerita Dr Durrishah, serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Akmal Arief Fauzi.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles