KOTA KINABALU: Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Liberal Demokratik (LDP) berlangsung meriah dengan kehadiran perwakilan parti dari seluruh bahagian di Sabah, di sini, pada Ahad.
Majlis dimulakan dengan persembahan tarian singa sebagai simbol kemakmuran dan tuah untuk menyambut para tetamu, sebelum diteruskan dengan pelbagai persembahan nyanyian lagu-lagu Tahun Baharu Cina oleh artis tempatan serta tetamu kehormat.
Sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran barisan pemimpin negeri dan persekutuan, antaranya Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai; Presiden LDP, Datuk Chin Shu Ping; Ahli Parlimen Tuaran merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; ADUN Dilantik, Datuk Chin Shu Ying; Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu (KKCCCI), Datuk Michael Lui; serta pemimpin parti dan masyarakat setempat.
Acara kemuncak majlis ialah upacara ‘Lau Sang’ yang disempurnakan oleh para tetamu kehormat sebagai simbol doa kesejahteraan, kejayaan dan kemakmuran untuk tahun baharu.
Dalam majlis sama, LDP turut menyampaikan sumbangan ‘ang pow’ kepada kanak-kanak yang hadir, selain bantuan dana pendidikan kepada anak-anak ahli parti sebagai manifestasi keprihatinan terhadap kebajikan dan pembangunan pendidikan generasi muda.
Sambutan berkenaan turut menyaksikan penyertaan wakil parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pertubuhan-pertubuhan Cina, institusi pendidikan serta pelbagai persatuan daerah di negeri ini. Penganjuran rumah terbuka itu bukan sahaja menjadi medan pertukaran ucapan perayaan, malah berperanan sebagai platform memperkukuh semangat perpaduan, keharmonian serta muhibah dalam kalangan masyarakat Cina dan seluruh rakyat Sabah yang berbilang kaum.
–TAMAT
