TANJUNG MALIM (Perak): Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa pelajar Sabah, khususnya yang melanjutkan pengajian di luar negeri, agar mengambil tahu secara langsung usaha dan inisiatif yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri serta tidak terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang disebarkan oleh pihak tertentu.
Beliau berkata, pelajar perlu mendapatkan maklumat sahih mengenai dasar, program dan usaha pembangunan kerajaan negeri, terutama dalam menangani isu asas rakyat seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik.

“Kita mahu anak-anak Sabah tahu apa sebenarnya yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Jangan mudah terpengaruh dengan cerita-cerita luar yang tidak tepat.
“Kita mesti menilai secara peribadi, mendapatkan maklumat yang betul kerana kerajaan negeri bersungguh-sungguh melaksanakan program pembangunan untuk rakyat Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Graduan Rindu Sabah / Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS SubFly) Tahun 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, pada Khamis.

Menurut Hajiji, kestabilan politik negeri ketika ini membolehkan kerajaan meneruskan dasar pembangunan yang dirancang secara lebih tersusun dan berfokus kepada penyelesaian masalah rakyat.
“Saya bersyukur kerana kerajaan negeri dapat dibentuk semula dengan lebih stabil. Ini membolehkan dasar pembangunan diteruskan dengan lebih konsisten demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pelajar Sabah yang bakal menamatkan pengajian sama ada di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan di Semenanjung atau di luar negara supaya kembali berkhidmat di Sabah bagi menyumbang kepakaran kepada pembangunan negeri.

Inisiatif Bantuan Graduan Rindu Sabah/Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS SubFly) pada majlis pelancaran inisiatif itu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Perak pada Khamis.
“Jika ada peluang, baliklah berkhidmat di Sabah. Sumbangkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh demi kemajuan negeri sendiri,” katanya.
Terdahulu, Hajiji melahirkan rasa bangga terhadap jumlah pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di UPSI, dengan seramai 2,772 orang direkodkan sedang menuntut di universiti berkenaan ketika ini.
“Saya dimaklumkan seramai 2,772 pelajar Sabah sedang menuntut di UPSI. Ini satu angka yang membanggakan. Apa yang penting, tumpukan perhatian dalam bidang pengajian kerana pendidikan adalah kunci utama untuk memajukan negeri dan negara pada masa hadapan.
“Saya juga dimaklumkan ramai anak Sabah di sini aktif dalam pelbagai bidang termasuk sukan, kebudayaan dan kegiatan kokurikulum yang bukan sahaja mengharumkan nama universiti, malah membawa nama baik Sabah,” katanya.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menyentuh usaha berterusan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu-isu asas rakyat seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik yang dijangka menunjukkan hasil ketara dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Beliau berkata, peningkatan kutipan hasil negeri turut membolehkan kerajaan menyalurkan kembali manfaat kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan pendidikan, kebajikan dan program sokongan pelajar seperti GRS SubFly. Inisiatif GRS SubFly 2026 dijangka memberi manfaat secara langsung kepada 2,772 pelajar Sabah di UPSI, selaras dengan komitmen kerajaan negeri membantu kebajikan pelajar Sabah yang menuntut di luar negeri.
–TAMAT
