PKMB sokong pendirian tegas Pemuda Gagasan Rakyat tolak tuntutan Filipina ke atas Sabah

KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang menolak sebarang tuntutan Filipina ke atas Sabah, yang disifatkan tidak berasas dari sudut perundangan mahupun legitimasi sejarah.

Pengerusinya, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata pendirian yang dizahirkan Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim, selaras dengan semangat patriotisme serta prinsip kedaulatan negara, selain berpaksikan realiti sejarah dan kerangka perundangan antarabangsa yang telah memuktamadkan kedudukan Sabah sebagai sebahagian sah dalam Persekutuan Malaysia.

Menurutnya, tuntutan yang terus dibangkitkan oleh pihak luar berpotensi mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat serta menjejaskan keharmonian dan hubungan baik serantau yang sekian lama terpelihara.

“Sabah adalah negeri berdaulat dalam Malaysia dan kedudukannya tidak boleh dipertikaikan. Proses pembentukan Malaysia, sejarah serta pengiktirafan antarabangsa telah membuktikan bahawa Sabah kekal sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyokong seruan Pemuda Gagasan Rakyat agar seluruh rakyat Sabah, khususnya golongan belia, terus bersatu padu mempertahankan kedaulatan negeri serta memperkukuh perpaduan yang menjadi teras kekuatan masyarakat.

Tambahnya, masyarakat Sabah yang berbilang kaum dan latar belakang perlu terus memelihara semangat kebersamaan, keamanan dan keharmonian tanpa dipengaruhi isu yang boleh menggugat kestabilan negeri.

“Kita perlu berdiri teguh bersama kepimpinan negeri dan Persekutuan dalam mempertahankan kedaulatan Sabah. Isu tuntutan ini tidak seharusnya dipolitikkan atau dibangkitkan berulang kali kerana ia hanya akan menjejaskan hubungan diplomatik serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Yazid berkata, pertubuhan masyarakat sivil di peringkat akar umbi akan terus memainkan peranan menyemai semangat cintakan negeri dan negara dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, agar kesedaran mempertahankan kedaulatan Sabah terus diperkukuh.

“Dalam soal kedaulatan, pendirian kita jelas — tegas dan tidak berkompromi. Sabah adalah tanah air kita yang dibina atas asas keamanan, perpaduan dan kedaulatan yang mesti dipertahankan bersama, dahulu, kini dan selamanya bersama Malaysia,” katanya.

–TAMAT


Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles