Peruntukan RM174.45 juta perkasa pelancongan dan budaya Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM174.45 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta jabatan dan agensinya tahun ini bagi memperkukuh industri pelancongan dan memelihara warisan budaya Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, selain merangsang ekonomi negeri, inisiatif itu turut menyumbang kepada usaha pemuliharaan nilai warisan budaya serta kelestarian alam semula jadi.

Menurutnya, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM38.70 juta bagi menambah baik fasiliti dan infrastruktur sedia ada, termasuk pelaksanaan beberapa projek utama tahun ini.

“Antara projek terbabit ialah menaik taraf kemudahan di Petagas War Memorial Park, pembinaan Muzium Etnik Ranau, menaik taraf Pusat Kebudayaan Penampang serta peningkatan produk pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Tenom.

“Kerajaan juga akan meneruskan inisiatif memperkasa warisan dan budaya Sabah melalui pembangunan Pemetaan Budaya Etnik 2026–2030 bagi memastikan kepelbagaian etnik didokumentasikan secara sistematik untuk rujukan generasi kini dan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Etnik Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Yang Dipertua Negeri, di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, manakala Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman  berkenan melancarkan Majlis Hari Etnik Sabah.

Hajiji berkata, usaha berterusan itu penting bagi memastikan budaya tempatan kekal relevan dalam dunia yang sentiasa berubah, di samping dipelihara oleh generasi muda.

Beliau berharap persatuan etnik di negeri ini terus memelihara adat, bahasa dan budaya masing-masing agar tidak pupus, selain memperkasa produk budaya sebagai tarikan pelancong.

“Usaha ini diyakini mampu meningkatkan kehadiran pelancong sekali gus mencapai sasaran empat juta pelancong ke Sabah tahun ini,” katanya.

Menurutnya, penganjuran Hari Etnik Sabah menjadi wadah meraikan kepelbagaian budaya dan warisan etnik, selain simbol keharmonian serta perpaduan rakyat negeri ini.

Katanya, penganjuran yang memasuki tahun keenam itu turut menampilkan elemen baharu iaitu perarakan budaya yang menghimpunkan pelbagai etnik dari seluruh Sabah.

“Bertepatan dengan tema sambutan tahun ini, ‘Budaya Kita, Kita Jaga’, ia menuntut tanggungjawab bersama untuk memelihara dan memulihara budaya sebagai asas jati diri, perpaduan sosial serta kebanggaan rakyat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk badan kebudayaan berasaskan etnik dan penggiat seni yang menjayakan sambutan berkenaan.

“Hari Etnik bukan sahaja platform memperkenalkan khazanah warisan etnik, malah membuktikan perbezaan agama, budaya dan latar belakang bukan jurang pemisah, sebaliknya kekuatan yang memperkayakan identiti Sabah serta memperkukuh perpaduan rakyat,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles