KOTA BELUD: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, menegaskan bahawa perpaduan politik merupakan kunci utama kepada kejayaan pembangunan dan kestabilan negeri Sabah di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dr. Joachim, yang juga Timbalan Pengerusi GRS dan Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PBS N.11 Kadamaian, yang berlangsung dengan penuh semangat dan penyertaan padu daripada seluruh jentera parti di peringkat akar umbi.
“Perpaduan politik adalah asas kepada semua kejayaan kita. Hanya melalui kesepaduan dan kerjasama antara parti-parti komponen dalam GRS, kita dapat memastikan masa depan Sabah lebih stabil dan makmur,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa penyatuan PBS bersama parti-parti komponen GRS — termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), United Sabah National Organisation (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Liberal Democratic Party (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS) — sejak hampir empat tahun lalu telah membentuk satu kekuatan politik yang kukuh dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Penyatuan ini bukan hanya memperkukuh pengaruh politik kita, tetapi memastikan kerjasama berterusan dalam pembangunan Sabah,” ujarnya.
Dr. Joachim turut menyorot kejayaan pelbagai program kerajaan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) seperti Rumah Mesra SMJ dan pelbagai inisiatif pendidikan yang memfokus kepada pembangunan modal insan serta penyediaan peluang pekerjaan untuk generasi muda.
Menurut beliau, hasil pentadbiran berkesan kerajaan GRS telah membolehkan negeri Sabah meningkatkan pendapatan negeri daripada kurang RM4 bilion kepada hampir RM8 bilion, manakala rizab negeri kini mencecah RM8.6 bilion — pencapaian tertinggi dalam sejarah negeri.
“Peningkatan hasil ini bukan kebetulan, tetapi hasil daripada kestabilan politik dan tadbir urus yang baik. Sebab itu penting untuk kita pertahankan perpaduan politik agar pelabur asing terus yakin, dan pembangunan infrastruktur dapat diteruskan,” tegasnya.
Beliau menambah bahawa GRS kekal komited untuk membangunkan modal insan Sabah sebagai asas utama menarik pelaburan dan mencipta pekerjaan berkualiti untuk rakyat. “Perpaduan politik membolehkan kita menumpukan tenaga dan sumber kepada kepentingan rakyat, bukan berbalas politik semata-mata. Itulah semangat sebenar perjuangan kita,” katanya mengakhiri ucapan dengan laungan penuh semangat, “Bersatu! Bersatu! Bersatu!”
— TAMAT
