KENINGAU:Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau terus menunjukkan komitmen terhadap kebajikan masyarakat apabila tampil membantu seorang penduduk tempatan yang memerlukan bantuan kewangan untuk membiayai rawatan ibunya.
Ketua Pemuda GRS Keningau, Rafie Robert, menyerahkan sumbangan kepada Clifford Fabian Spencer dari Taman MDK Keningau, bagi membantu membiayai kos rawatan ibunya, Nairis Kingan.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) GRS Keningau Station, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, bagi pihak Rafie.
Clifford ketika ditemui menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan ditunjukkan oleh GRS yang sentiasa mendampingi rakyat dalam waktu sukar.
“Kami amat menghargai bantuan ini. Ia bukan sahaja meringankan beban kami, tetapi juga memberi semangat untuk terus tabah menghadapi dugaan,” katanya.
Sementara itu, Rafie menegaskan bahawa Pemuda GRS Keningau akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya.
“GRS bukan sekadar sebuah gabungan politik, tetapi wadah yang mendengar dan bertindak demi kesejahteraan rakyat. Kita akan terus mendekati masyarakat dan memastikan tiada yang terpinggir,” katanya. Inisiatif kebajikan seperti ini menjadi sebahagian daripada komitmen berterusan Pemuda GRS dalam melaksanakan tanggungjawab sosial di peringkat akar umbi, sejajar dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan utama
— TAMAT
