Cement Industries sumbang RM1 juta kepada Tabung Pendidikan Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd. (CIS) menzahirkan komitmen berterusan terhadap pembangunan modal insan negeri dengan menyalurkan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).

Penyerahan replika cek sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Haji Akim kepada Pengerusi Bersama TPNS, Datuk Seri Panglima Haji Ghulamhaidar Khan Bahadar, dan disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pada majlis ringkas di Pejabat Ketua Menteri di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif selaku Pengerusi TPNS; serta Pengurus Besar CIS, Haji Sumardi Mohd Yusof.

Menurut Haji Sumardi, sumbangan tersebut mencerminkan peranan CIS sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dalam menyokong agenda pendidikan negeri, khususnya usaha memastikan lebih ramai anak Sabah berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“CIS komited untuk mendokong inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkasa pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang bagi pembangunan modal insan Sabah.

“Melalui sumbangan ini, kami berharap dapat membantu melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya,” katanya.

Kerajaan Negeri sebelum ini menegaskan pendidikan sebagai teras utama pembangunan negeri, dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif dan mampan untuk rakyat Sabah.

–Tamat.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles