Pengisian guru Sabah cecah 98.22 peratus, majoriti anak tempatan

KOTA KINABALU: Tahap pengisian guru di Sabah kini mencapai 98.22 peratus, sekali gus menyokong kelancaran operasi sekolah di seluruh negeri.

Perkara itu dimaklumkan dalam kunjungan hormat Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) kepada Menteri di Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Datuk James Ratib, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir Setiausaha Tetap KPSTI, Datuk Hassan Mahali bersama pegawai kanan kementerian.

Delegasi SPP diketuai Datuk Adzman Talib serta disertai Md Radzi Hashim, Datuk Dr Nuinda Alias, Intan Zainab Mohd Bustan dan pegawai lain.

Dalam sesi taklimat, SPP memaklumkan sebanyak 86.75 peratus daripada jumlah pengisian guru di Sabah terdiri daripada anak tempatan, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa bakat tempatan dalam sektor pendidikan.

Perkembangan itu mencerminkan keberkesanan penyelarasan dasar serta komitmen berterusan antara kerajaan negeri dan SPP dalam memastikan keperluan tenaga pengajar sentiasa mencukupi dan berkualiti.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh aspek pengurusan perkhidmatan pendidikan termasuk pelantikan dan penempatan guru bagi memastikan agihan tenaga pengajar lebih seimbang di seluruh negeri.

Fokus turut diberikan kepada usaha memperkukuh bidang kritikal, khususnya yang menyokong agenda sains, teknologi dan inovasi di Sabah.

Kunjungan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan negeri dalam memperkasa sektor pendidikan sebagai asas utama pembangunan modal insan.

Penekanan terhadap pembangunan bakat tempatan serta penguasaan bidang strategik dilihat penting dalam melahirkan generasi masa depan Sabah yang lebih berdaya saing.

Pada masa sama, SPP menegaskan komitmen untuk terus menyokong keperluan Sabah melalui pengurusan sumber manusia pendidikan yang lebih efisien dan responsif. Lawatan itu turut memperkukuh penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri bagi memastikan sistem pendidikan Sabah kekal maju, inklusif serta relevan dengan keperluan semasa.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles