TAWAU: Tiga projek pembangunan bernilai lebih RM1 juta dilaksanakan di Kolej Tingkatan Enam (Pra Universiti) Tawau bagi meningkatkan kemudahan serta keselesaan kira-kira 1,000 pelajar di institusi berkenaan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, projek tersebut meliputi pembinaan dewan terbuka, penambahan kemudahan tempat letak kereta serta pembangunan ‘pump house’ bagi menambah baik bekalan air di kolej itu.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Pejabat Parlimen Tawau, kerajaan negeri Sabah serta sumbangan sektor swasta.
“Pendidikan adalah sektor paling penting kerana ia menjadi asas kepada pembinaan modal insan dan jaminan masa depan.
“Sekiranya kemudahan asas tidak mencukupi atau isu berlarutan tidak ditangani, ia boleh menjejaskan kualiti pembelajaran pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Tingkatan Enam Tawau, di sini, hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua PIBG Kolej Tingkatan Enam Tawau, Amir Kanje serta Pengetua kolej, Dr Rabe Juhari.
Lo berkata, kejayaan pelaksanaan projek berkenaan turut didorong komitmen pihak pengurusan kolej dan PIBG yang aktif menyuarakan keperluan serta mengemukakan cadangan penyelesaian terhadap isu dihadapi.
“Saya merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan kolej dan PIBG yang berusaha gigih memperjuangkan pembangunan institusi ini demi keselesaan pelajar,” katanya.
Menurutnya, pendekatan kolaboratif antara pihak sekolah, wakil rakyat dan komuniti amat penting bagi memastikan setiap kekangan dapat ditangani secara berkesan. Beliau berkata, usaha berterusan itu diharap mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, sekali gus melahirkan pelajar yang berkualiti dan berdaya saing.
