LAHAD DATU:Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini berada pada landasan kukuh menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan (PRU DU) Sabah apabila sokongan rakyat terhadap gabungan itu semakin meningkat di seluruh negeri, kata Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Silam, Datuk Mizma Appehdullah.
Menurutnya, perkembangan positif itu hasil gerak kerja tersusun jentera GRS di peringkat akar umbi, yang kini giat memperkukuh hubungan dengan rakyat dan menyampaikan mesej pembangunan di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“GRS kini semakin meniti di bibir rakyat. Gerakan jentera di semua peringkat menunjukkan sokongan padu terhadap gabungan ini.
Kami di Silam bekerja keras sebagai tanda komitmen kepada parti dan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya nanti,” katanya.
Mizma, yang juga Ketua Wanita GRS Zon 6B, menegaskan fokus utama ketika ini bukan soal calon, tetapi memastikan seluruh jentera parti benar-benar bersiap siaga menghadapi pilihan raya.
“Ini bukan masa berbicara soal calon. Soal calon dan kawasan biarlah pucuk pimpinan yang tentukan. Saya yakin Presiden GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, akan membuat keputusan terbaik untuk parti,” ujarnya.
Mizma berkata, keyakinan rakyat terhadap GRS berpunca daripada rekod pentadbiran kerajaan negeri yang berjaya membawa hasil pembangunan nyata melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Rakyat melihat sendiri bagaimana SMJ memberi impak besar kepada ekonomi dan kesejahteraan mereka — daripada peluang pekerjaan, pembangunan luar bandar, hinggalah peningkatan kemudahan asas.
Sebab itu saya tekankan kepada rakyat, teruslah memilih GRS agar kesinambungan pembangunan dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, pentadbiran GRS bukan sahaja menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi turut memberi keutamaan kepada kesejahteraan sosial dan keadilan pembangunan di semua daerah.
Mizma turut mengingatkan semua ahli dan penyokong GRS agar terus bekerja keras di lapangan serta mengekalkan semangat perpaduan bagi memastikan kemenangan gabungan itu.
“Kita mesti bersatu hati, elakkan perpecahan dan kekal fokus pada perjuangan.
Rakyat sudah melihat perbezaan antara kerajaan yang bekerja dan kerajaan yang hanya berjanji.
GRS ialah kerajaan yang bekerja — kerajaan yang membawa hasil,” katanya.
Beliau menambah, keyakinan terhadap GRS kini semakin kuat, bukan sahaja di kalangan ahli, tetapi juga dalam kalangan masyarakat umum yang mula menyedari kestabilan politik membawa manfaat terus kepada rakyat.
— TAMAT
