KOTA KINABALU:Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, disahkan menang tanpa bertanding jawatan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi penggal 2026–2029 selepas pencalonan pemilihan parti ditutup pada 31 Julai lalu.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, turut menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden bagi kuota Bumiputera bukan Islam, manakala Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam, memenangi jawatan Timbalan Presiden bagi kuota Bumiputera Islam.
Menurut laporan Berita Harian, Setiausaha Agung PBS yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti, Datuk Julita Majungki, berkata Dr. Joachim merupakan calon tunggal yang menerima pencalonan mencukupi bagi jawatan Presiden.
Beliau berkata, Joniston juga menjadi satu-satunya calon yang layak bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Bumiputera bukan Islam, manakala Ruslan menang tanpa bertanding selepas seorang lagi calon bagi kuota Bumiputera Islam hanya memperoleh satu pencalonan.
“Calon perlu menerima sekurang-kurangnya tiga pencalonan untuk melayakkan mereka bertanding dalam pemilihan parti,” katanya.
Bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Cina, dua calon layak bertanding iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui, dan Ahli Majlis Tertinggi PBS, Goon Thien Shang.
Menurut Julita, pemilihan kali ini turut menyaksikan pertandingan bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) membabitkan semua kuota, dengan keseluruhan 79 pencalonan diterima bagi jawatan yang dipertandingkan.
Beliau berkata, lebih separuh daripada calon yang bertanding merupakan muka baharu, sekali gus mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan ahli untuk menyumbang kepada kepimpinan parti.
Sementara itu, Dr. Joachim menyifatkan penyertaan ramai calon baharu sebagai petanda positif yang menunjukkan semakin ramai ahli bersedia memikul tanggungjawab memperkukuh perjuangan PBS.
PBS dijadualkan mengadakan pemilihan parti sempena Kongres Tahunan pada September depan.
Dr. Joachim memangku jawatan Presiden PBS sejak Jun 2024 selepas penyandangnya, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili, menyerahkan tugas pentadbiran parti atas faktor kesihatan.
