Nizam seru petani kuasai teknologi digital, teroka potensi media sosial perluas pasaran

TAWAU:Usahawan tani di Sabah disaran menguasai teknologi digital dan memanfaatkan platform media sosial bagi memperluaskan pasaran produk pertanian serta meningkatkan daya saing dalam era ekonomi digital yang semakin berkembang.

Menteri Belia, Sukan dan Keusahawanan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkembangan Revolusi Industri 5.0 (IR5.0) dan ekonomi gig membuka ruang yang lebih luas kepada pengusaha pertanian untuk memasarkan hasil mereka secara terus kepada pengguna tanpa bergantung sepenuhnya kepada kaedah pemasaran konvensional.

Menurut beliau, penguasaan teknologi digital mampu membantu petani meningkatkan nilai tambah produk, memperluaskan rangkaian pelanggan serta memperkenalkan hasil pertanian tempatan ke pasaran yang lebih besar.

“Kita berharap petani dan usahawan tani terus memperkasakan pengetahuan dalam bidang digital supaya mereka dapat memanfaatkan pelbagai platform sedia ada untuk memasarkan produk masing-masing.

“Malah, mereka juga boleh menjadi pempengaruh dalam mempromosikan hasil pertanian tempatan serta memperkenalkan kawasan pertanian sebagai destinasi yang menarik kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Gerai Jualan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tawau di Batu 13, Jalan Apas, di sini, Ahad.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Datuk Ts. Jifrin Mohamad dan Pemangku Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Mohd Shoffian Mohd Said.

𝗧𝗮𝗿𝗶𝗸 𝗚𝗲𝗻𝗲𝗿𝗮𝘀𝗶 𝗠𝘂𝗱𝗮 𝗖𝗲𝗯𝘂𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝘁𝗮𝗻𝗶𝗮𝗻 𝗠𝗼𝗱𝗲𝗻
Nizam berkata, penggunaan teknologi dan media sosial bukan sahaja mampu meningkatkan jualan hasil pertanian, malah berpotensi menarik lebih ramai golongan muda untuk menceburi sektor pertanian yang kini semakin moden, dinamik dan berpotensi tinggi.

Beliau turut menyifatkan pembukaan gerai jualan di TKPM Tawau sebagai satu inisiatif strategik yang dapat membantu pengusaha pertanian memasarkan hasil mereka secara lebih sistematik dan berdaya saing.

Beliau berkata, kemudahan yang menyediakan 10 lot gerai itu bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pembangunan TKPM Tawau, malah membantu mengurangkan kos pemasaran serta menyediakan lokasi perniagaan yang lebih selesa dan selamat berbanding berniaga di bahu jalan.

“Gerai ini memberi manfaat besar kepada petani kerana menyediakan ruang pemasaran yang lebih tersusun dan berkesan, sekali gus meningkatkan potensi pendapatan mereka,” katanya.

LAWATAN: Nizam beramah mesra dengan usahawan tani dan meninjau gerai-gerai yang mempamerkan hasil pertanian tempatan selepas merasmikan Gerai Jualan TKPM Tawau.

𝗧𝗞𝗣𝗠 𝗧𝗮𝘄𝗮𝘂 𝗕𝗲𝗿𝗽𝗼𝘁𝗲𝗻𝘀𝗶 𝗝𝗮𝗱𝗶 𝗗𝗲𝘀𝘁𝗶𝗻𝗮𝘀𝗶 𝗔𝗴𝗿𝗼 𝗣𝗲𝗹𝗮𝗻𝗰𝗼𝗻𝗴𝗮𝗻
Dalam pada itu, Nizam melihat TKPM Tawau mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi agro pelancongan yang mampu menarik pelawat dari dalam dan luar negara.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Jabatan Pertanian Sabah mengadakan perbincangan bersama MPT bagi meneroka peluang mempromosikan kawasan berkenaan sebagai produk pelancongan baharu di daerah Tawau.

Menurutnya, selain berfungsi sebagai pusat pengeluaran makanan, TKPM Tawau berpotensi menjadi lokasi tarikan pelancong yang ingin melihat sendiri aktiviti pertanian moden serta mendapatkan hasil pertanian segar secara terus daripada pengusaha.

𝗔𝗴𝗲𝗻𝘀𝗶 𝗣𝗮𝗻𝘁𝗮𝘂 𝗜𝗺𝗽𝗮𝗸 𝗘𝗹 𝗡𝗶𝗻̃𝗼 𝘁𝗲𝗿𝗵𝗮𝗱𝗮𝗽 𝗣𝗲𝗿𝘁𝗮𝗻𝗶𝗮𝗻
Mengulas mengenai amaran cuaca panas dan fenomena El Niño yang dijangka memberi kesan kepada sektor pertanian, Nizam berkata agensi berkaitan sentiasa memantau perkembangan semasa bagi memastikan petani menerima maklumat, nasihat dan panduan yang diperlukan.

Beliau berkata, langkah mitigasi yang bersesuaian akan terus dilaksanakan bagi membantu petani mengurangkan impak perubahan cuaca terhadap pengeluaran makanan negeri. “Cabaran cuaca sentiasa berubah dari semasa ke semasa, namun saya yakin agensi berkaitan mempunyai kepakaran dan mekanisme yang diperlukan untuk membantu petani mengurangkan kesan perubahan cuaca terhadap hasil pertanian,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles