KPSTI bidas dakwaan WARISAN berhubung isu sekolah daif

KOTA KINABALU: Pejabat Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) membidas kenyataan Naib Ketua Wira WARISAN Pusat yang didakwa cuba mengelirukan rakyat menerusi permainan sentimen politik berkaitan isu sekolah daif di Sabah.

Menteri KPSTI, Datuk James Ratib berkata, kenyataan berkenaan bukan sahaja tidak menggambarkan keseluruhan konteks sebenar yang telah dijelaskan sebelum ini, malah berpotensi menimbulkan persepsi tidak tepat terhadap usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem pendidikan negeri.

Menurutnya, KPSTI bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mempunyai pendirian yang jelas bahawa istilah “sekolah daif” dan “bangunan daif” adalah dua perkara berbeza dan tidak boleh disamakan.

“Sekolah daif merujuk kepada sekolah yang dikategorikan sebagai daif secara keseluruhan dari sudut sistem pendidikan dan ekosistem persekolahan, termasuk aspek pembelajaran, capaian internet, pengurusan sekolah, akses pendidikan serta keberkesanan sistem persekolahan.

“Bangunan daif pula hanya melibatkan keadaan struktur fizikal bangunan sekolah yang memerlukan penyelenggaraan atau baik pulih tertentu dan tidak bermaksud keseluruhan sistem sekolah tersebut adalah daif,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

James berkata, usaha kerajaan negeri memperkukuh pendidikan di Sabah tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal bangunan semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pengukuhan keseluruhan ekosistem pendidikan.

Katanya, ia termasuk peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran, capaian internet, pembangunan digital, kebajikan murid serta akses pendidikan yang lebih menyeluruh khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata, KPSTI tidak pernah menafikan masih terdapat cabaran pendidikan di Sabah termasuk isu keciciran pelajar, kemudahan pendidikan, akses internet dan pengangkutan di kawasan pedalaman serta pulau terpencil.

“Kerajaan negeri telah memperkenalkan 14 inisiatif pendidikan melalui Pejabat Tugas-Tugas Khas di bawah KPSTI dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) bagi memastikan akses pendidikan yang lebih menyeluruh kepada anak-anak Sabah.

“Inisiatif itu merangkumi bantuan pendaftaran IPT, bantuan komputer, bantuan peperiksaan, bantuan sekolah, bantuan PIBG, bantuan penyelenggaraan sekolah, bantuan mahasiswa serta penghargaan kecemerlangan akademik,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata KPSTI turut memohon peruntukan khas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi pembelian smartboard untuk kegunaan sekolah di Sabah sebagai langkah memperkasa pendidikan digital.

Katanya, usaha pemasangan internet di sekolah luar bandar melalui kerjasama dengan YTL juga sedang giat dilaksanakan dan kini dilaporkan hampir 80 peratus siap.

“Kerajaan negeri melalui KPSTI akan terus komited memperjuangkan setiap keperluan berkaitan pendidikan demi memastikan anak-anak Sabah mendapat akses pendidikan yang lebih baik, berkualiti dan selari dengan perkembangan semasa,” katanya.

James turut menegaskan bahawa kenyataan berkaitan pendidikan perlu difahami secara profesional dan tidak diputarbelitkan bagi tujuan politik sehingga mengelirukan rakyat.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles