KOTA KINABALU: Penubuhan Majlis Daerah Sook memerlukan penelitian menyeluruh termasuk kajian terperinci serta pematuhan terhadap kriteria ditetapkan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menteri di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, buat masa ini Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah belum mempunyai perancangan untuk mewujudkan majlis daerah berkenaan.
Beliau berkata, struktur Pihak Berkuasa Tempatan merangkumi tiga kategori utama iaitu Majlis Daerah, Majlis Perbandaran serta Dewan atau Majlis Bandaraya, yang masing-masing mempunyai kriteria khusus untuk dipenuhi.
Menurutnya, berdasarkan Pekeliling Ketua Setiausaha KKTP Bilangan 2 Tahun 2025 berkaitan Garis Panduan Penetapan Kriteria Baharu Naik Taraf PBT, antara syarat utama bagi penubuhan majlis daerah ialah mempunyai populasi kurang daripada 150,000 orang serta hasil pendapatan tahunan melebihi RM5 juta dan kurang daripada RM25 juta.
“Selain itu, kawasan berkenaan perlu mempunyai kemudahan infrastruktur dan utiliti awam yang mencukupi serta keupayaan menyediakan perkhidmatan perbandaran asas selaras dengan fungsi utama PBT.
“PBT juga perlu mempunyai struktur tadbir urus yang telah beroperasi secara interim sekurang-kurangnya tiga tahun bagi melaksanakan fungsi pentadbiran tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Arthur Joseph Kurup (PBRS-Sook) mengenai cadangan penubuhan Majlis Daerah Sook dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Arifin berkata kelulusan persempadanan semula bagi pewujudan daerah baharu serta perancangan pembangunan yang mengenal pasti potensi pusat pertumbuhan ekonomi juga merupakan antara kriteria penting yang perlu dipertimbangkan.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan penubuhan majlis daerah baharu dipertimbangkan walaupun belum memenuhi sepenuhnya semua kriteria.
“Asas pertimbangan utama adalah keupayaan majlis daerah baharu untuk berdiri sendiri dengan sumber kewangan yang kukuh dan mampan,” katanya.
