Keputusan Hajiji tepat, Sedco catat rekod terbaik dalam 15 tahun

KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) mencatat sejarah baharu apabila berjaya menyerahkan dividen dan bayaran balik pinjaman berjumlah RM10 juta kepada Kerajaan Negeri bagi tahun 2025, menjadikannya pencapaian tertinggi dalam tempoh 15 tahun.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Ben Chong berkata, kejayaan itu hasil keputusan tepat Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor melantik tokoh industri, Datuk James Wong Kein Peng sebagai Pengurus Besar Kumpulan Sedco pada Mac 2025.

“Pelantikan beliau pada mulanya menerima pelbagai pandangan, namun keberanian Ketua Menteri membuat keputusan tersebut terbukti tepat apabila Sedco kini kembali menunjukkan prestasi kukuh,” katanya, Harian Ekspres melaporkan.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

Daripada jumlah RM10 juta itu, sebanyak RM2 juta adalah dividen manakala RM8 juta merupakan bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Negeri.

Sedco kini menetapkan sasaran menggandakan pulangan kepada RM20 juta pada tahun 2026, seiring keyakinan terhadap prestasi operasi dan projek strategik yang sedang dilaksanakan.

Ben (kiri) dan James (kanan).

Wong berkata, Sedco komited menjana nilai ekonomi kukuh serta pulangan dividen signifikan kepada negeri untuk menyokong pembangunan infrastruktur dan modal insan.

“Pencapaian ini adalah hasil usaha kolektif kepimpinan, pengurusan dan warga kerja Sedco,” katanya sambil menjelaskan pelbagai pembaharuan korporat dilaksana termasuk penubuhan Unit Pengurusan Projek dan Perolehan serta pelaksanaan KPI berasaskan prestasi.

Sedco turut merancang beberapa projek strategik termasuk Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat, Hab Logistik Sepanggar, Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Sabah serta Pelancongan Pantai Tuaran, selain memperkasa program keusahawanan Bumiputera dan inisiatif agroteknologi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri atas sokongan terhadap usaha transformasi Sedco.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles