TAWAU: Keprihatinan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap kebajikan rakyat terus terserlah apabila seorang ibu tunggal di Kampung Durian, Merotai menerima rumah baharu di bawah Program Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ).
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) merangkap Timbalan Pengerusi GRS, Brig Jen. (B) Tan Sri Datuk Liew Yun Fah, berkata bantuan itu adalah hasil tindakan segera selepas lawatan beliau ke rumah usang keluarga terbabit pada Ogos tahun lalu.
Menurutnya, lawatan berkenaan yang turut disertai Datuk Mohd Rashid Dato’ Mohd Tahir, wakil kepada mantan Tuan Yang Terutama Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, membuka ruang kepada beliau untuk meneliti sendiri keadaan keluarga Hassan Kablusi dan anak perempuannya Noor Azlinah Hassan, seorang ibu tunggal yang baru kehilangan suami.
“Mengambil kira keadaan rumah usang dan keperluan Noor Azlinah sebagai ibu tunggal, kami segera membuat permohonan bantuan rumah SMJ kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor,” katanya.
“Syukur, baru-baru ini saya dapat menyaksikan sendiri penyerahan rumah baharu kepada Noor Azlinah. Ini bukti keprihatinan GRS dan Ketua Menteri terhadap nasib rakyat di Merotai,” katanya lagi dalam kenyataan di Tawau.
Liew menegaskan, bantuan yang disalurkan kerajaan negeri bukan bersifat retorik politik, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan keperluan rakyat tanpa mengira masa atau musim pilihan raya.
“Ini bukan janji pilihan raya dengan ayat ‘kalau saya menang’. GRS bertindak dahulu kerana keperluan rakyat lebih utama — dan biarlah rakyat sendiri menilai keikhlasan kami,” katanya.
Beliau menambah, kejayaan menyalurkan rumah baharu kepada keluarga berkenaan menjadi bukti bahawa kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor benar-benar berfungsi sebagai kerajaan yang mendengar denyut nadi rakyat.
“Saya amat terharu dan berterima kasih kepada Ketua Menteri atas keprihatinan beliau terhadap anak Merotai. Inilah bukti bahawa GRS bukan sekadar menabur janji, tetapi menunaikan tanggungjawab dengan hasil yang nyata,” katanya.
Liew turut memberi jaminan bahawa perjuangannya bersama GRS akan terus tertumpu kepada peningkatan kebajikan, infrastruktur dan peluang ekonomi rakyat Merotai.
“Anak Merotai sentiasa di hati kami. Kami akan terus bekerja untuk memastikan kebajikan mereka terbela di bawah kerajaan GRS,” katanya mengakhiri kenyataan dengan ungkapan, “Anak Merotai, Merotai Kita.”
— TAMAT
