KOTA KINABALU:Integriti dalam kalangan pemimpin masyarakat merupakan faktor utama yang menentukan tahap keyakinan rakyat terhadap kerajaan, dan setiap pemimpin hendaklah berkhidmat dengan jujur, telus serta bertanggungjawab tanpa menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan peribadi.
Demikian ditegaskan Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang, ketika merasmikan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Peringkat Komuniti di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
“Jawatan boleh datang dan pergi, tetapi integriti akan terus menjadi ukuran nilai seseorang pemimpin.
“Jangan sesekali menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kepentingan peribadi, mengambil kesempatan ketika menguruskan bantuan rakyat atau mengutamakan kroni sehingga menjejaskan kepercayaan masyarakat,” katanya.
Turut hadir Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Haji Nordin Lossin; serta pegawai daripada AKM, UPPM Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Seminar yang menghimpunkan lebih 1,350 peserta itu disertai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung, Ketua Masyarakat Cina, Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Dalam Bandar (JKDB), selain warga kerja UPPM Sabah.
Awang Kadin berkata, seminar anjuran AKM dengan kerjasama UPPM Sabah, SPRM dan Sabah Maju Jaya (SMJ) itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah yang sebelum ini diadakan di Sandakan, Tawau, Kota Marudu dan Beaufort, sebelum diteruskan ke Keningau.
Awang Kadin berkata, pemimpin masyarakat bukan sekadar berperanan menyampaikan maklumat kerajaan, malah menjadi jambatan utama yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, mereka bertanggungjawab memastikan setiap dasar dan inisiatif Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta agenda pembangunan Kerajaan Negeri Sabah melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, disampaikan secara tepat dan berkesan kepada masyarakat.
“Jangan biarkan media sosial menjadi sumber maklumat utama sehingga fakta bercampur dengan fitnah.
“Kitalah yang perlu turun padang, mendengar sendiri suara rakyat dan menjelaskan apa yang telah, sedang serta akan dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.
Awang Kadin turut mengingatkan bahawa integriti tidak hanya tertumpu kepada isu rasuah, sebaliknya merangkumi kejujuran dalam membuat pengesahan, berlaku adil kepada semua pihak, mempertahankan kebenaran serta melaksanakan amanah tanpa mengharapkan balasan. “Kepercayaan rakyat tidak dibina dalam sehari, tetapi boleh musnah hanya dengan satu penyalahgunaan kuasa.
