KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Dr Joachim Gunsalam, menerima kunjungan hormat kepimpinan tertinggi Parti Liberal Demokratik (LDP) di pejabatnya di sini, pada Isnin.
Rombongan LDP diketuai Timbalan Presidennya, Yong Wui Chung, bersama Setiausaha Agung Chin Shu Ying, beberapa Naib Presiden serta barisan kepimpinan pusat parti.
Tujuan utama kunjungan adalah menyampaikan jemputan rasmi kepada Joachim untuk menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran LDP yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Pertemuan itu turut menjadi platform perbincangan isu-isu semasa berkaitan pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur, khususnya di sekitar Kota Kinabalu, termasuk keperluan penambahbaikan kemudahan asas serta pengukuhan sistem utiliti bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Joachim, yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), menyambut baik kunjungan berkenaan dan menghargai pandangan yang dikemukakan, selaras komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pertemuan berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif, mencerminkan semangat kerjasama politik demi memastikan agenda pembangunan Sabah dilaksanakan secara berkesan dan inklusif.
