Isu siasatan Rumah Mesra SMJ tidak wajar disalah tafsir sebagai kegagalan dasar :Aksyah

KOTA KINABALU: Isu siasatan membabitkan projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) tidak seharusnya disalah tafsir sebagai kegagalan dasar kerajaan negeri, sebaliknya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses penguatkuasaan bagi memastikan tadbir urus yang telus dan berintegriti.

Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, berkata penahanan seorang penjawat awam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini sememangnya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, namun orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat kesimpulan awal.

“Kita menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan dakwaan salah guna kuasa atau kedudukan. Namun, prinsip keadilan menuntut supaya siasatan diberi ruang sepenuhnya tanpa prejudis,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.

Menurutnya, reaksi kurang senang dalam kalangan netizen boleh difahami kerana isu berkenaan melibatkan program kebajikan rakyat, namun ia tidak wajar dijadikan alasan untuk menafikan niat baik serta matlamat murni dasar kerajaan negeri.

Aksyah berkata, inisiatif Rumah Mesra SMJ yang diperkenalkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman lebih selesa dan selamat, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Program ini menyediakan rumah percuma kepada golongan memerlukan dan menjadi antara inisiatif kebajikan utama di bawah kerangka pembangunan Sabah Maju Jaya yang kini memasuki fasa pelaksanaan seterusnya.

“Ilham dan hasrat di sebalik dasar ini amat murni. Ia merupakan antara program perumahan rakyat yang pertama dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat negeri,” katanya.

Beliau menegaskan, sebarang kelemahan dalam aspek pelaksanaan wajar diperbetulkan melalui penambahbaikan tatakelola dan pemantauan berterusan, agar projek berkenaan benar-benar mencapai kumpulan sasar serta dilaksanakan secara telus.

Merujuk manifesto Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah lalu, Aksyah berkata sasaran penambahan unit rumah di setiap kawasan mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperluas manfaat program berkenaan susulan sambutan positif rakyat.

Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu siasatan berkenaan sehingga menimbulkan persepsi tidak adil terhadap dasar kerajaan negeri di bawah pentadbiran GRS Plus.

“Kita tidak mahu dasar yang baik ini dipolitikkan dengan naratif yang boleh mengaburi fakta sebenar. Isu yang berlaku perlu ditangani mengikut proses undang-undang, namun dasar kebajikan ini tidak wajar dipersalahkan,” katanya.

Beliau berharap insiden berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek agar integriti, akauntabiliti dan amanah sentiasa dipelihara. “Yang paling penting, projek Rumah Mesra SMJ terus dilaksanakan dengan penambahbaikan sewajarnya supaya matlamat membantu rakyat Sabah yang memerlukan dapat direalisasikan,” katanya.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles