Hibiscus–Neopetro meterai LOA, perkukuh ekosistem sokongan O&G Sabah

KOTA KINABALU: Penganugerahan kontrak bagi penyediaan sebuah Kapal Tunda Bekalan Pengendalian Sauh (AHTS) untuk menyokong operasi luar pesisir di Sabah dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh ekosistem sokongan industri minyak dan gas (O&G) di negeri ini.

Pengarah Urusan Neopetro Sdn Bhd, Mahmud Mokti berkata, Surat Setuju Terima (LOA) yang dimeterai antara Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited, SEA Hibiscus Sdn Bhd dan Neopetro mencerminkan kepercayaan kukuh serta komitmen bersama dalam kalangan pemain industri.

Menurutnya, kerjasama itu bertujuan membangunkan rangka kerja sokongan luar pesisir yang lebih berdaya tahan di Sabah dan Malaysia.

“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan kami, tetapi juga kepercayaan bersama dalam memperkukuh ekosistem sokongan luar pesisir,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu, pada Jumaat.

Beliau berkata, kontrak berkenaan meliputi penyediaan sebuah kapal AHTS bagi operasi di Sabah untuk tempoh 2026 hingga 2027, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha Neopetro menyumbang kepada pembangunan sektor tenaga negara.

Mahmud menegaskan pertumbuhan industri perlu dipacu oleh keupayaan, kerjasama strategik serta komitmen berterusan terhadap kecemerlangan operasi.

Dalam perkembangan berkaitan, satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai antara Neopetro dan Pelita Akademi Sdn Bhd yang memberi tumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi industri luar pesisir.

Menurut beliau, kerjasama itu bertujuan membentuk generasi baharu bakat maritim tempatan melalui peningkatan kemahiran serta penyediaan laluan kerjaya dalam sektor berkenaan.

“Inisiatif ini memperkasa bakat Sabah dan memastikan manfaat pertumbuhan industri dapat dinikmati oleh masyarakat setempat,” katanya.

Mahmud berkata, kemampanan jangka panjang industri bukan sahaja bergantung kepada infrastruktur dan aset, tetapi turut memerlukan pembangunan modal insan yang berterusan.

“Dengan memupuk bakat tempatan dan meningkatkan kemahiran, kita sedang membina industri yang lebih berdaya tahan dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkepentingan termasuk PETRONAS atas sokongan berterusan dalam memacu pertumbuhan sektor minyak dan gas negara.

Selain itu, beliau mengiktiraf peranan SMJ Energy Sdn Bhd serta Sabah Oil, Gas & Services Council dalam memperkukuh ekosistem industri dan memperjuangkan penyertaan tempatan di Sabah.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun.

Turut hadir Country Head Malaysia & Vietnam Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited dan SEA Hibiscus Sdn Bhd, Dr Pascal Hos; Pengurus Besar Kanan PETRONAS bagi Penyelesaian Teknikal Kumpulan, Projek, Teknologi serta Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar, Mazri Mohd Ali; serta tetamu kehormat lain.

Mahmud turut merakamkan penghargaan kepada Hibiscus Oil & Gas Malaysia dan SEA Hibiscus atas kepercayaan yang diberikan, serta Pelita Akademi atas kerjasama dalam memperkasa pembangunan modal insan tempatan. “Dalam melangkah ke hadapan, kita perlu terus memperkukuh kerjasama, menggalakkan inovasi serta mengekalkan komitmen terhadap keselamatan, kemampanan dan kecemerlangan,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles