Harga bahan api berpotensi diseragamkan jika konflik global berpanjangan :Masiung

TONGOD: Harga bahan api di Sabah, Sarawak dan Semenanjung berkemungkinan diseragamkan sekiranya konflik di Asia Barat berterusan dan memberi tekanan kepada ekonomi global.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pendekatan mengekalkan subsidi bahan api secara menyeluruh bukan lagi pilihan mampan memandangkan kemampuan kewangan kerajaan yang semakin terhad.

“Sekiranya krisis ekonomi global berpanjangan dan ketegangan geopolitik seperti konflik Iran serta Amerika Syarikat/Israel terus memuncak, tidak mustahil harga petroleum di Sabah, Sarawak dan Semenanjung akan diseragamkan.

“Kenaikan harga minyak dunia sudah tentu akan memberi kesan langsung kepada kos sara hidup, termasuk peningkatan harga barangan keperluan harian terutama barangan import,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 serta Majlis Aidilfitri di Kampung Kuala Keramuak, di sini, kelmarin.

Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan SEDCO berkata, subsidi bahan api khususnya di wilayah Borneo berkemungkinan dikurangkan atau dibekukan sekiranya tekanan terhadap kedudukan fiskal kerajaan semakin meningkat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat di Sabah agar bersedia menghadapi kemungkinan peningkatan kos sara hidup susulan ketidaktentuan ekonomi global.

“Situasi ini sukar dielakkan. Justeru, rakyat perlu menyesuaikan gaya hidup dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah dan berjimat cermat,” katanya.

Menurut beliau, anggaran semasa menunjukkan jumlah subsidi petrol dan diesel di seluruh negara mencecah kira-kira RM6 bilion sebulan berbanding sekitar RM700 juta sebelum berlakunya krisis tenaga global.

Tambahnya, kos subsidi bagi Sabah dan Sarawak sahaja dianggarkan sekitar RM383 juta sebulan.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles