Hak Sabah perlu dihormati, tuntutan 40% hasil perlu dilaksana

KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menyatakan sokongan terhadap gesaan agar Kerajaan Persekutuan segera melaksanakan pembayaran tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Pengerusinya, Yazid Mohd Hasnan Tawik berkata kerajaan Persekutuan perlu menunjukkan komitmen jelas dalam melaksanakan keputusan tersebut sebagai tanda menghormati hak Sabah serta kepentingan rakyat negeri ini.

Menurut beliau, sekiranya terdapat kekangan berkaitan mekanisme pelaksanaan atau kemampuan kewangan, pendekatan pembayaran secara berperingkat boleh dipertimbangkan sebagai langkah pragmatik.

“Pendekatan ini bukan sahaja lebih realistik, malah mencerminkan itikad baik kerajaan Persekutuan dalam memenuhi tanggungjawabnya terhadap Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025 yang mengesahkan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan merupakan satu pengiktirafan penting terhadap kedudukan negeri itu sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan serta selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, rakyat Sabah telah lama menantikan penyelesaian yang adil terhadap perkara berkenaan dan sebarang penangguhan hanya berpotensi menimbulkan keresahan serta pelbagai persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan lebih proaktif dengan memulakan pembayaran sebahagian daripada tuntutan tersebut sementara rundingan lanjut mengenai jumlah sebenar serta formula pengiraan dimuktamadkan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Dalam semangat Persekutuan Malaysia yang adil dan saksama, kita berharap penyelesaian ini dapat disegerakan agar hak Sabah terus dihormati dan dilaksanakan,” katanya.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles