KOTA KINABALU: Hak Sabah terhadap geran khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat, satu perkembangan penting dalam usaha mengembalikan hak negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, keyakinan itu bersandarkan hubungan baik, matang dan saling menghormati antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan, yang menjadi asas penting kepada kelangsungan negara Persekutuan Malaysia.
Menurut beliau, perjuangan menuntut hak Sabah tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab mempertahankan kestabilan, keselamatan dan keutuhan negara.
“Walaupun Sabah tegas memperjuangkan haknya, kita tidak pernah mengabaikan kepentingan nasional. Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia, dan kemajuan negeri ini akan menyumbang kepada kekuatan negara secara keseluruhan.
“Saya yakin hubungan yang kukuh dengan Kerajaan Persekutuan akan membolehkan obligasi pembayaran hak 40 peratus ini dimuktamadkan tidak lama lagi demi kebaikan bersama,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan MADANI yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, Sabtu lalu.
Hajiji menegaskan bahawa pentadbiran negara dan negeri tidak boleh digerakkan melalui konfrontasi politik semata-mata, sebaliknya memerlukan kebijaksanaan, ketegasan dan semangat kenegaraan yang utuh.
Ketua Menteri berkata, bermula tahun hadapan, arah pembangunan Sabah akan dipacu sepenuhnya melalui pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, yang dirangka lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.
Antara teras utama SMJ 2.0 ialah pembukaan tiga taman perindustrian strategik baharu, iaitu:
- Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat,
- Taman Perindustrian Minyak dan Gas di Beaufort, dan
- Taman Perindustrian Teknologi Tinggi dan Semikonduktor di antara Kota Belud dan Kota Marudu.
Langkah itu bertujuan menampung peningkatan minat pelabur serta menjadikan Sabah sebagai hab ekonomi baharu di Malaysia Timur.
“Matlamat utama kita jelas – memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah,” katanya.
Dalam aspek kebajikan sosial, Hajiji mengumumkan beberapa penambahbaikan penting, antaranya pembinaan 50 unit Rumah Mesra SMJ bagi setiap kawasan DUN khusus untuk golongan miskin dan miskin tegar.
Kerajaan negeri juga akan meneruskan bantuan kewangan bulanan RM300 kepada 100,000 penerima, selain memperkenalkan bantuan khas warga emas berumur 60 tahun ke atas yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Di samping itu, satu insentif baharu berupa bantuan deposit pembelian rumah pertama akan diperkenalkan bagi membantu anak Sabah memiliki kediaman sendiri.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan menggandakan usaha menaik taraf infrastruktur asas dengan peruntukan lebih RM1.2 bilion bagi sektor air, yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula pertengahan tahun hadapan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan RM765 juta bagi menyiapkan Projek Sabah Southern Link, yang bakal menghubungkan grid elektrik Pantai Barat dan Pantai Timur – satu projek strategik bagi mengatasi isu gangguan bekalan elektrik di negeri ini.
Mengakhiri ucapannya, Hajiji menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang disifatkan memainkan peranan besar dalam mengekalkan ketenteraman awam sepanjang proses pilihan raya baru-baru ini.
— TAMAT
