Hajiji yakin jemaah menteri baharu mampu pacu Sabah lebih cemerlang

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yakin barisan jemaah menteri baharu yang dilantik mampu memimpin kementerian masing-masing dengan berkesan bagi memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih cemerlang.

Beliau berkata, pelantikan anggota kabinet negeri dibuat berdasarkan pengalaman, keupayaan dan kesesuaian setiap individu dalam menerajui portfolio yang diamanahkan.

“Kabinet baharu ini perlu memastikan kesinambungan pelaksanaan program pembangunan seperti yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya.

Hajiji turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua menteri yang dilantik serta mengingatkan bahawa amanah dipikul adalah besar dan menuntut komitmen tinggi, dedikasi serta integriti dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Beliau menegaskan bahawa setiap menteri perlu berkhidmat untuk seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang, sambil memastikan segala amanah yang diberikan dapat ditunaikan sebaiknya.

Kenyataan itu disampaikan melalui Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, pada sidang media di Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, hari ini, selepas Istiadat Angkat Sumpah Jemaah Menteri Baharu di Istana Seri Kinabalu.

Menurut Joachim, upacara angkat sumpah berkenaan membawa makna penting kerana ia melambangkan iltizam kerajaan negeri untuk terus berkhidmat demi kepentingan rakyat serta masa depan Sabah.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan bahawa kerajaan negeri yang dibentuk adalah kerajaan perpaduan melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH), Pertubuhan Kinabalu Bersatu Progresif (UPKO) dan Barisan Nasional (BN).

Ditanya mengenai penyertaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Joachim memaklumkan bahawa parti tersebut belum secara rasmi menyertai kerajaan perpaduan yang baharu dibentuk.

Beliau turut mengumumkan senarai penuh jemaah menteri kabinet baharu, termasuk dirinya yang dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dan Utiliti; Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; serta Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.

Turut dilantik daripada wakil GRS ialah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan; Datuk Rubin Balang (Menteri Pembangunan Luar Bandar); Datuk James Ratib (Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi); Datuk Julita Mojungki (Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat); serta Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Menteri Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif).

Sementara itu, wakil tunggal PH, Datuk Jamawi Jaafar dilantik sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan manakala wakil BN, Datuk Jafry Arifin sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Terdahulu, barisan kabinet baharu Kerajaan Negeri Sabah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, pada istiadat yang berlangsung di Istana Seri Kinabalu, petang Isnin.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles