Geran Khas Interim Sabah dinaikkan kepada RM1.5 Bilion, rundingan tuntutan 40 Peratus diteruskan

PENAMPANG: Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan Geran Khas Interim Sabah kepada RM1.5 bilion setahun, berbanding RM600 juta sebelum ini, sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil Sabah dimuktamadkan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peningkatan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan hak Sabah, namun menegaskan bahawa jumlah berkenaan masih bersifat interim sementara rundingan berkaitan formula dan kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri diselesaikan.

Beliau berkata, kerajaan mengiktiraf hak Sabah seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan komitmen tersebut telah dibawa ke Jemaah Menteri serta diumumkan secara rasmi di Parlimen.

“Perkara yang perlu dimuktamadkan sekarang ialah kaedah pelaksanaannya. Keputusan berkaitan MA63 perlu diperincikan dengan teliti kerana ia memberi implikasi kepada Sabah, Sarawak dan negeri-negeri lain dalam Persekutuan,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor; Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Sabah 2026, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; serta Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau telah mengamanahkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, untuk memperincikan rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah.

Menurutnya, walaupun proses itu memerlukan sedikit masa, kerajaan tidak akan menafikan hak Sabah untuk menerima pemberian yang sewajarnya.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan kononnya Sabah terus dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Katanya, hasil kutipan Kerajaan Persekutuan di Sabah dianggarkan sekitar RM10 bilion setahun, namun peruntukan pembangunan yang disalurkan semula kepada negeri itu mencecah RM17 bilion.

Beliau turut memaklumkan bahawa subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) bagi Sabah dijangka meningkat kepada RM3 bilion tahun ini, berbanding RM1 bilion pada tahun lalu susulan krisis bekalan dan ketidaktentuan ekonomi global.

“Pendedahan angka ini bukan untuk menafikan hak Sabah, tetapi bagi memberi gambaran sebenar kepada rakyat supaya tidak terpengaruh dengan sentimen politik yang tidak berasaskan fakta,” katanya.

Anwar menegaskan Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan kebajikan rakyat termasuk mengekalkan harga bahan api pada kadar berpatutan walaupun berdepan peningkatan kos subsidi yang ketara.

Beliau berkata, hubungan erat dan semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu terus diperkukuhkan demi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles