KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, menegaskan pendirian jelas untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan Sabah yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sekali gus meredakan kekeliruan susulan kenyataan politik yang timbul baru-baru ini.
Aliakbar, yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah, berkata kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) telah menyerahkan kepada PAS untuk menentukan hala tuju sokongan parti di negeri ini.

“Saya sudah bekerja rapat dengan Ketua Menteri selama lima tahun. Kami mempunyai hubungan kerja yang baik, dan saya amat serasi dengan kepimpinan beliau, khususnya dalam meneruskan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada Ketua Menteri lebih awal. Malah, PAS Sabah telah menghantar surat rasmi kepada beliau pada 9 Disember lalu bagi menyatakan sokongan,” katanya ketika dihubungi.
𝗦𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗣𝗲𝗻𝗷𝗲𝗹𝗮𝘀𝗮𝗻 𝗣𝗔𝗦 𝗣𝘂𝘀𝗮𝘁
Penjelasan Aliakbar hadir selepas timbul kekeliruan berhubung kedudukan beliau susulan kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Namun, kenyataan terkini Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengesahkan bahawa ADUN tunggal PAS itu memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Hajiji.
Aliakbar turut memaklumkan bahawa beliau sudah menemui Ketua Menteri secara peribadi sebelum ini.
“Hanya belum bertemu secara rasmi, tetapi komunikasi dan persefahaman tetap baik,” katanya.
𝗠𝗮𝗻𝗱𝗮𝘁 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗿𝘂 𝗱𝗶 𝗞𝗮𝗿𝗮𝗺𝗯𝘂𝗻𝗮𝗶
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah, Aliakbar sebelum ini ADUN Dilantik,memenangi kerusi DUN Karambunai dengan 7,054 undi dalam persaingan 11 penjuru, menjadikan beliau satu-satunya wakil PAS dalam Dewan Undangan Negeri. Sokongan terbuka beliau kepada Hajiji sekali gus mengukuhkan kestabilan politik negeri dan menyokong agenda pembangunan berasaskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan Sabah.
–TAMAT
