TUARAN:Peniaga kecil yang menjalankan perniagaan di tepi jalan di kawasan Sulaman bakal menerima bantuan tunai sebanyak RM3,000 seorang sebagai usaha membantu meningkatkan pendapatan dan meringankan beban kos operasi mereka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata beliau telah mengarahkan Pejabat Daerah Tuaran menyediakan senarai lengkap peniaga yang layak bagi memastikan bantuan itu dapat disalurkan dalam masa terdekat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, pemberian bantuan itu merupakan antara komitmennya dalam membantu golongan peniaga kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi setempat.

“Saya telah berjanji kepada mereka dan berharap senarai penerima dapat disiapkan dalam masa terdekat supaya bantuan ini dapat diagihkan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Usahawan dan STEM X Challenge sempena Pertandingan Akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Lok Batik, di sini.
Hajiji berkata, kerajaan memahami cabaran yang dihadapi peniaga kecil, khususnya dalam keadaan kos sara hidup dan kos operasi yang semakin meningkat.
Menurut beliau, penganjuran Karnival Usahawan dan STEM X Challenge juga memberi peluang kepada usahawan kecil, terutama golongan belia, untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing melalui pendedahan kepada ilmu keusahawanan dan inovasi.
“Bukan semua orang akan bekerja dalam sektor awam. Keusahawanan adalah satu bidang yang mampu menjana pendapatan lumayan jika diusahakan dengan tekun, rajin dan berdisiplin,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan serta program pembangunan usahawan bagi membantu golongan belia menceburi bidang perniagaan.
Mengulas mengenai STEM X Challenge, Hajiji berkata penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) amat penting dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan ekonomi masa depan.

“Anak-anak kita perlu menguasai STEM kerana bidang ini menjadi pemacu utama pembangunan negara dan kemajuan masyarakat pada era teknologi hari ini,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran program yang mengambil inspirasi sempena Piala Dunia FIFA 2026 turut membawa mesej bahawa nilai disiplin, strategi, kerjasama dan semangat juang dalam sukan juga merupakan elemen penting dalam bidang pendidikan, inovasi dan keusahawanan.
“Sebagaimana sukan menuntut disiplin, strategi dan semangat berpasukan, begitu jugalah STEM dan keusahawanan memerlukan nilai yang sama untuk mencapai kejayaan,” katanya.
