KENINGAU:Kerajaan Negeri terus komited memperkukuh pendidikan inklusif dengan memperluaskan akses kepada pendidikan, intervensi awal serta sokongan menyeluruh kepada anak-anak berkeperluan pendidikan khas menerusi kerjasama pelbagai pihak.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata usaha itu dilaksanakan melalui kerjasama strategik melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), institusi pendidikan, ibu bapa, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT), sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata, kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri, khususnya melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak, warga emas, ibu tunggal, anak yatim serta golongan miskin dan daif.
“Tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM173.56 juta kepada Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat serta jabatan dan agensi di bawahnya bagi melaksanakan pelbagai agenda kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan negeri,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, ketika merasmikan The Neurohope Programme 2026 di sini, Sabtu.
Hajiji berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Bantuan Kebajikan meliputi skim bantuan kepada OKU, warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal, anak yatim serta Program Bantuan Makanan kepada golongan daif dan miskin.
Beliau berkata, kerajaan turut memperluaskan kemudahan Pusat Autisme Sabah (PAUS) sebagai usaha menyediakan pendidikan awal yang berkualiti dan mampu milik kepada kanak-kanak autisme berusia antara tiga hingga tujuh tahun.
Menurutnya, PAUS di Sembulan kini beroperasi dengan baik, manakala pusat baharu akan diwujudkan secara berfasa di Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort bermula tahun ini.
Mengulas mengenai The Neurohope Programme, Hajiji berkata program itu merupakan satu inisiatif komuniti yang menghimpunkan sektor pendidikan, kesihatan, kerajaan, pertubuhan masyarakat, ibu bapa dan komuniti bagi membina ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh kepada anak-anak berkeperluan khas.
Beliau menyeru ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan orang ramai supaya memanfaatkan program berkenaan untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman serta memperkukuh kerjasama dalam membina persekitaran yang lebih inklusif.
“Kita sedar sokongan kepada anak-anak berkeperluan khas bukan hanya datang daripada keluarga, tetapi memerlukan dokongan berterusan daripada komuniti, pakar kesihatan dan pertubuhan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji merakamkan penghargaan kepada warga SK Bingkor atas kejayaan menjadikan sekolah berkenaan sebagai pusat pembangunan komuniti yang aktif.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Dr. Valerie Primus atas kejayaan mengharumkan nama Sabah dan Malaysia apabila dinobatkan sebagai pemenang Cambridge Dedicated Teacher Awards 2026 bagi rantau Asia Tenggara dan Pasifik, selain tersenarai dalam 50 Guru Terbaik Dunia serta menerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan Malaysia.
Beliau berharap The Neurohope Programme dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah dan daerah di seluruh Sabah bagi memperkukuh pendidikan inklusif, memperkasa institusi keluarga serta membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan penyayang.
